Thursday 16 November 2023

SEJARAH PERANG MELAKA - PASAI

 
Perang Melaka-Pasai berlaku antara tahun 1468 -1474 iaitu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III Pasai yang memerintah dari tahun 1468 -1474. Sultan Melaka pada waktu ini ialah Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1456 -1477.

Perang Melaka-Pasai berlaku kerana Melaka cuba menolong membantu merampas kembali takhta Sultan Zainal Abidin III yang disingkirkan dalam perang saudara sebelum ini.

Melaka telah menghantar Bendahara Paduka Raja Tun Perak (1456-1498 ) sebagai ketua panglima dan juga beberapa orang hulubalang terkemuka Melaka seperti Tun Pikrama, Laksamana, Seri Bija Diraja, Tun Telanai, Seri Agar Diraja, Tun Bijaya Mahamenteri, Sang Naya, Sang Setia, Sang Guna, Tun Bija Sura, Sang Jaya Pikrama, Aria Diraja, Sang Rana, Sang Sura Pahlawan, Raja Pahlawan dan Raja Dewa Pahlawan beserta dengan kekuatan 2 laksa tentera Melaka.

Selepas sampai di Pasai, berlakulah perang yang sengit antara 2 laksa tentera Melaka melawan 12 laksa tentera Raja Muda Pasai yang mempunyai pelbagai kelengkapan perang.
Strategi Melaka sangat mudah iaitu Melaka membina kubu pertahanan di sepanjang pantai dengan tujuan memudahkan mereka melarikan diri jika kalah perang dengan Pasai.

Ini sangat logik kerana berbekalkan kekuatan 20,000 orang tentera agak sukar untuk Melaka menewaskan Pasai yang memiliki 120,000 personel tentera. Walaupun memiliki angkatan perang yang jauh lebih kecil namun angkatan tentera Melaka kebanyakannya memiliki kemahiran memanah yang agak tinggi buktinya apabila tentera Pasai gagal menerobos kubu pertahanan yang dibina Melaka disebabkan hujan anak panah dari pihak Melaka.

Semangat angkatan perang Melaka telah bertambah apabila Bendahara Tun Perak sudi makan bersama dengan mereka yang beralaskan daun pisang.

Dalam perang ini, pasukan Melaka telah mencatatkan kemenangan ke atas Pasai. Walaupun kisah ini disebutkan dalam Sejarah Melayu, sebenarnya kisah ini masih samar-samar lagi kerana kurangnya rujukan yang wujud daripada sumber yang lain.

Mengikut kisah yang masyhur, Sultan Zainal Abidin III telah turun takhta selepas kalah perang dengan sepupunya sendiri iaitu Sultan Muhammad Shah II yang memerintah dari tahun 1474-1495.

Sumber -  Perang Tamadun Melayu. Patriot Publishing. 
Gambar - Sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment