Ada kenyataan mengatakan sambutan Aidiladha
lebih meriah berbanding Aidilfitri di Kelantan. Sebenarnya, memang betul sambutan Aidiladha
atau Hari Raya Haji meriah di Kelantan. Namun, tidak tepat dikatakan Aidiladha
disambut lebih meriah berbanding Aidilfitri.
Mungkin kemeriahan Raya Korban di Kelantan terserlah kerana ia disambut meriah
berbanding di negeri-negeri lain. Kemeriahan Hari Raya Haji dirasakan meriah
disebabkan tradisi sambutan yang melibatkan acara korban yang diadakan secara
beramai-ramai.
Acara korban di Kelantan diadakan dalam
bentuk keluarga atau diuruskan oleh pemilik asal lembu itu. Program korban
melibatkan seluruh keluarga mereka yang ada bahagian lembu korban itu.
Jadi, mereka akan berkumpul beramai-ramai di tempat korban. Pada ketika itu
tempat diadakan korban akan nampak meriah. Tidak kira kecil besar, tua muda,
lelaki dan wanita akan bersama-sama di tempat di majlis korban.
Kalau yang ingin terlibat secara langsung
dengan kerja-kerja penyembelihan dan memasak, maka pakaian yang dipakai adalah
mengikut kesesuaian tugas. Namun, tidak kurang juga, terutama di kalangan
remaja perempuan akan berpakaian cantik selayaknya untuk sambutan hari
raya.
Penglibatan semua ahli keluarga bermula
dari mula lembu direbahkan, disembelih, dilapah dan pengagihan daging korban.
Seawal sebaik selesai sembahyang sunat Aidiladha, masing-masing ahli keluarga
akan bergerak ke tempat acara korban akan diadakan.
Boleh dikatakan di setiap penjuru kampung akan kelihatan majlis korban
diadakan. Fenomena ini menwujudkan satu kemeriahan.
Ada acara dibuat di dalam kebun, di tepi
tali air atau setidak-tidaknya di tepi rumah. Yang memilih diadakan di dalam
kebun kerana kawasannya luas dan tidak timbul soal mengotorkan kawasan yang jauh
dari rumah.
Faktor kemeriahan ini turut menggamit
anak-anak Kelantan yang berada di perantauan pulang meraikannya kerana semangat
Aidiladha tidak dapat dirasai di tempat lain.
Sebab itu, penduduk asal Kelantan yang tinggal di luar akan berusaha pulang
berhari raya di Kelantan. Jika ada yang berkahwin dengan pasangan bukan asal
Kelantan, mereka sanggup berkomporomi pulang berhari raya di rumah pasangan
pada Aidilfitri asalkan dapat pula berhari raya Aidiladha di Kelantan.
Kemeriahan acara korban di Kelantan memang
meriah kerana tradisinya. Daging korban yang mula-mula dilapah akan terus
diambil dan dimasak untuk dihidangkan kepada mereka yang hadir di majlis
itu.
Selain kesibukan melapah daging yang biasa dilakukan kaum lelaki, kaum
perempuan pula akan sibuk di dapur untuk memasak. Terasa sangat kesibukan dan
kemediahnnya.
Masakan akan siap sebaik acara melapah dan
mengagihkan daging kepada tujuh bahagian selesai. Masakan cukup ringkas, tetapi
cukup bermakna untuk dihidangkan kepada semua.
Agihan daging korban kepada setiap orang
melaksanakan ibadat korban akan dibawa pulang ke rumah masing-masing. Selepas
itu pulalah baru daging-daging itu akan diagihkan kepada golongan fakir miskin,
ahli keluarga dan jiran tetangga.
Proses agihan daging korban ini juga
mewujudkan suasana kemeriahan dan ukhwah seluruh masyarakat. Wujud tanda
ingatan dan saling berhubungan.
Sebab itu, ibu bapa akan memastikan
anak-anak di perantauan akan pulang menyambut Aidiladha di Kelantan biarpun
hanya mendapat cuti sahari sahaja. Malah, ada ibu bapa atau keluarga akan
membatalkan niat untuk berkorban jika tiada anak dapat pulang untuk membantu
menguruskan korban, terutama sekali anak atau menantu lelaki.
Hal ini berbeza dengan ibadat korban yang
dilakukan di negeri lain yang kebanyakan diuruskan oleh pihak masjid atau
kumpulan yang dikhususkan untuk menguruskanacara korban dan kemudiannya daging
itu sendiri akan diagihkan oleh penganjur. Individu yang menjadi peserta korban
hanya diperuntukkan dengan sejumlah daging sahaja.
Ada individu yang melakukan korban yang langsung tidak terlibat dengan urusan
itu. Apa yang dilakukan hanya membayar harga korban dan niat korgan. Yang lain
diuruskan sepenuhnya oleh pihak lain.
No comments:
Post a Comment