Buah mengkinang sukar ditemui sekarang. Pokok mengkinang
semakin pupus. Pokok mengkinang atau buah mengkinang adalah panggilan orang
Pahang kepada sejenis pokok yang buahnya rasa kelat manis.
Nama pokok mengkinang di Kedah adalah sanga. Manakala di Kelantan
ia dipanggil pokok piah.
Pokoknya tinggi macam pokok tualang. Pokok mengkinang ditebang
untuk digunakan kayunya yang berkualiti. Tambahan pula, buah mengkinang
dianggap tidak menguntungkan dari segi ekonomi, biarpun boleh dimakan dan ada
peminatnya.
Buah mengkinang kulitnya macam ciku, tetapi keras. Kalau dilihat
gambarnya, ada yang mengatakan macam buah sukun. Sebenarnya jauh bezanya. Buah mengkinang
sebesar buah limau sahaja, sedangkan buah sukun sebesar kelapa.
Cara hendak makan buah mengkinang cukup unik. Buah itu perlu dipukul atau
diketuk kepada benda keras. Ada yang melontarnya ke simen atau dinding batu.
Tujuan dilakukan begitu untuk ‘melonggarkan’ isinya dari kulit dan biji.
Dengan cara melontar juga isinya akan lebih gebu dan lembut. Jika tidak dibuat
demikian isinya akan pejal.
Isinya berwarna kuning. Rasanya kelat-kelat manis dan isi buahnya yang
benar-benar masak akan mudah melekat di gigi.
Buah mengkinang atau buah sanga atau buah piah memang sukar
ditemui sekarang. Pengalaman makan buah tersebut sekadar menjadi ingatan kepada
generasi dahulu. Kenangan indah yang sekadar dapat diceritakan kepada anak
cucu, tetapi tidak dapat mewariskan untuk mereka juga mengalami pengalaman itu.
No comments:
Post a Comment