Banyak insan mengharapkan bantuan pihak
kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) maupun individu. Bantuan itu
diperlukan untuk meneruskan kehidupan lebih selesa, tujuan perubatan ataupun
menceriakan sedikit kesedihan yang ditanggung selama ini.
Di dalam akhbar, televisyen dan media sosial
kerap menyiarkan kisah penderitaan individu dan keluarga yang memerlukan
bantuan orang ramai. Betapa banyaknya insan di sekeliling kita yang sebenarnya
boleh dikategorikan sebagai bernasib malang.
Laporan itu bukan sekadar untuk melariskan
jualan akhbar, tetapi juga merupakan satu tanggungjawab sosial yang perlu
dilaksanakan. Laporan itu juga bukan setakat untuk dibaca dan kemudian
tidak ada apa-apa yang belaku. Ia memerlukan tindakan orang ramai untuk
mengubah keadaan menjadi lebih baik.
Alhamdulillah, setakat ini, banyak laporan
yang disiarkan di akhbar dan media sosial mendapat respon yang positif daripada
pihak yang berkaitan dan orang ramai. Nasib insan malang yang
dilaporkan itu sedikit terbela dan ada yang dapat menyelesaikan masalah yang
membelenggu selama ini.
Sumbangan itu tidak kisahlah sama ada dalam
bentuk wang ringgit, harta, tenaga, khidmat nasihat dan apa-apa jua yang dapat
membantu golongan itu. Setiap sumbangan pastinya memberi kebaikan kepada penerimanya.
Rakyat Malaysia memang terkenal
dengan sikap prihatin dan pemurah. Jika ada bencana di luar negara,
rakyat Malaysia adalah antara yang terawal menghulurkan
bantuan.
Pelbagai jenis tabung yang dikendalikan
oleh kerjaaan, pihak swasta dan NGO diwujudkan untuk menerima bantuan orang
ramai bagi disalurkan kepada mangsa atau golongan yang daif di luar
negara. Kutipannya ada yang mencecah jutaan ringgit untuk setiap tabung.
Beberapa nama NGO Malaysia kini terkenal di
seluruh dunia, khususnya di negara yang pernah mereka menyumbangkan bantuan.
Malah, ada NGO antarabangsa dengan kerjasama NGO Malaysia kini
menjadikan Malaysia sebagai pangkalan hadapan untuk menyalurkan
bantuan bencana di negara-negara rantau Asia.
Selain memberi bantuan di peringkat antarabangsa,
kita sepatutnya turut memberi tumpuan untuk membantu golongan daif di negara
kita. Mereka ini sepatutnya lebih diutamakan untuk mendapat bantuan
kita. Ini tidak pula bermakna perlu menghentikan bantuan kepada rakyat di
negara lain.
Hubungan peringkat antarabangsa memang
perlu diwujudkan. Ia secara langsung menaikkan imej negara di mana masyarakat
antarabangsa. Rakyat negara kita juga mungkin pada masa akan datang memerlukan
bantuan luar negara apabila berlaku bencana besar.
No comments:
Post a Comment