Tuesday, 8 April 2025

PERKHIDMATAN KERETA API DI GUA MUSANG

 
Sebelum tahun 1984, pengangkutan utama menghubungkan Gua Musang dengan bandar-bandar lain di Kelantan ialah kereta api. Ketika itu jalan raya dari Kuala Krai-Gua Musang belum wujud. Selain, menggunakan kereta api, kaedah lain untuk ke Gua Musang adalah menggunakan sungai.
 
Di Gua Musang terdapat banyak bukit batu kapur. Ini termasuklah di kawasan berhampiran Stesen Gua Musang lama (Stesen Kereta Api Gua Musang) dan Stesen Gua Musang baharu. Bukit batu kapur di sekitar Gua Musang kebanyakannya menegak curam, sama ada rata atau berbonggol di bahagian teratas. Ia menjadi satu pemandangan menarik, terutama apabila melihat dari jendela kereta api.
 
Gua Musang merupakan bandar paling selatan di Kelantan. Letaknya kira-kira 170 kilometer dari Kota Bharu, ibu negeri Kelantan. Gua Musang kini bukan lagi bandar mundur seperti suatu ketika dahulu.
 
Gua Musang kini terbahagi kepada tiga iaitu bandar Gua Musang lama dan Bandar Baru Gua Musang dan Bandar Utama Gua Musang. Gua Musang kini pesat membangun. 
.
Sejarah perkhidmatan kereta api di Stesen Gua Musang bermula seawal tahun 1931, sebagai salah satu stesen yang terdapat di laluan pantai timur iaitu landasan dari Tumpat di utara, turun ke selatan sampai di Stesen Gemas.
.
Stesen Gua Musang lama terletak di kawasan Gua Musang lama, betul-betul berhampiran dengan satu bukit batu kapur. Untuk sampai ke Stesen Gua Musang lama perlu lebih dahulu memasuki Gua Musang lama. Stesen ini boleh dikatakan terletak di penghujang atau tepi bandar.
 
Pembangunan bandar Gua Musang lama banyak bergantung kepada perkhidmatan kereta api, selalain lalu sungai. bandar Gua Musang lama terletak berhampiran Sungai Galas.
 
Pada masa dahulu, perkhidmatan kereta api di Gua Musang bukan sahaja untuk membawa penumpang, tetapi juga kayu balak. Kayu balak ini diangkut ke utara untuk diproses menjadi papan dan batang kayu di kilang yang terletak di Kuala Krai dan Tanah Merah.
 
Lokasi Stesen Gua Musang baru berada berhampiran dengan jalan utama menghubungkan Gua Musang dengan Kota Bharu. Ia dikira berada di tengah-tengah Gua Musang yang mana tidak jauh dari Gua Musang lama, Bandar Baru Gua Musang dan Bandar Utama Gua Musang.


Gambar - Stesen Gua Musang lama. 
Sumber gambar - Media sosial

1 comment:

  1. Perkhidmatan keretapi KL-Kelantan tiada...telah ditamatkan walhal banyak penumpang, nak pergi KL naiki keretapi terpaksa turun di stesen Gemas naiki ETS plk..tidak seperti dulu-dulu...keretapi pilihan ke-3...

    ReplyDelete