Islam menyediakan panduan membentuk
kehidupan keluarga bahagia. Kehidupan rumahtangga memang banyak dugaan. Islam
menyarankan agar sebarang permasalahan dalam rumah tangga diselesaikan dengan
sebaik-baiknya.
Seperti telah dijelaskan,
perkahwinan bukan saja melibatkan pasangan berkenaan saja. Perkahwinan juga
melibatkan hubungan keluarga dengan keluarga.
Bahkan dalam misi yang besar,
perkahwinan turut melibatkan hubungan antara dua negara. Perkara ini dapat
dilihat pada era dahulu contohnya perkahwinan Sultan Melaka dengan Puteri dari
China. Maka, jika berlaku masalah konflik hubungan suami isteri, ia turut
melibatkan hubungan lain.
Maka, kehidupan suami isteri perlu
berlangsung dalam keadaan aman. Sebarang masalah perlu diselesaikan segera.
Jangan ambil mudah sebarang riak atau tanda yang boleh menggongcang keharmonian
rumah tangga.
Banyak kes rumah tangga bermula
dengan perkara kecil. Tetapi, disebabkan tidak ditangani segera, ia merebak
kepada keadaan sukar dikawal. Akhirnya konflik yang berlarutan itu berakhir
dengan perceraian.
Talak dibenarkan seperti mana
firman Allah bermaksud: “Tidak ada sesuatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan
isteri kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 236).
Islam membenarkan perceraian jika
perkahwinan yang dibina tidak mampu diselamatkan. Tindakan itu bagi memberi
keadilan kepada kedua-dua pihak, keluarga. Paling penting ia dapat mengelak
berlaku ketidakadilan dan penindasan dalam perkahwinan.
Pun begitu, perceraian tidak boleh
dibuat mudah. Budaya kahwin dan cerai yang berlaku perlu dihentikan kerana ia
memberi kesan yang amat buruk kepada individu, anak-anak, keluarga dan
masyarakat.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Sebenci-benci perkara halal di sisi Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu
Daud dan Ibnu Majah).
Suami tidak boleh bertindak atau
memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Isteri mempunyai hak untuk mendapat
layanan terbaik daripada suami. Isteri bukannya hamba memuaskan nafsu suami
semata-mata.
Institusi perkahwinan adalah
pelindung bagi wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang tidak
bertanggungjawab.
Kebahagiaan yang diharapkan pada
permulaan perkahwinan perlu diteruskan sepanjang masa. Semakin lama usia
perkahwinan, sepatutnya semakin erat kasih sayang dan mendewasakan mereka dalam
menghadapi cabaran hidup.
Ingatlah, sesungguhnya institusi
perkahwinan mempunyai banyak hikmah yang perlu dihargai oleh setiap pasangan
suami isteri. Allah menjanjikan kebahagiaan bagi setiap pasangan yang mematuhi
rukun berumah tangga.
Suami yang baik mendapat pahala
jihad dan kebajikan di atas setiap perkara yang dilakukan kepada isteri dan
anak-anak. Manakala, isteri pula dijanjikan syurga jika dia melakukan amalan
wajib dan taat kepada suami.
Ini membuktikan bahawa Islam amat
mementingkan agar kerukunan rumahtangga dikekalkan. Suami isteri perlu
mengambil peluang balasan kebaikan yang diterima daripada kehidupan
berkeluarga.
No comments:
Post a Comment