Monday 30 July 2018

Cabaran UMNO mendepani pengundi muda

Kedudukan UMNO dan Barisan Nasional semakin lemah selepas kekalahan pada PRU 14 lalu. Semakin banyak ahli meninggalkan UMNO untuk beralih kepada parti komponen Pakatan Harapan. Pakatan Harapan semakin ghairah menarik ahli UMNO yang dilihat mencari tapak baharu untuk meneruskan kelangsungan niat berparti selama ini.  

UMNO sebagai parti keramat Melayu mesti terus mendapat sokongan rakyat. Perjuangan bangsa yang dimulakan oleh pemimpin dahulu mesti dipertahankan sampai bila-bila. 

Seluruh ahli UMNO perlu bekerja lebih kuat ke arah itu. Usaha dan tindakan yang lebih berkesan untuk mendapat sokongan perlu dilipat gandakan. Penambahan gerak kerja bukan saja dari segi kuantiti, tetapi juga kualiti.   

Perjuangan parti satu perkara yang penting. Kekuatan agama, bangsa dan negara bergantung kepada pengorbanan ahli parti. Kesatuan fikiran yang utuh berpaksikan kepada fakta yang benar. Ia tidak boleh dilakukan secara main-main atau ambil mudah. 

Dalam merangka sesuatu program perlu ada matlamat, fokus, boleh ubah dan mempunyai kaitan dengan apa yang ingin dicapai.  

Penekanan kepada matlamat amat penting. Jika melakukan sesuatu tanpa menetapkan matlamat, sudah pasti tidal akan berjaya mencapai apa yang diinginkan. Kita akan menjadi keliru dan tidak ada hala tuju.       

Matlamat ialah untuk mendapat kembali sokongan rakyat. Perkara ini perlu dijadikan keutamaan atau paling penting bagi setiap program yang dirancang.

Perkara ini tidak sukar untuk dicapai jika kita memberi fokus terhadapnya. Beri perhatian yang khusus terhadap apa yang dilakukan. Usaha ini bukan boleh dibuat main-main. Fikiran dan tindakan kita mesti jelas. Apa yang diusahakan hendaklah dilakukan dengan penuh yakin. Jika hilang fokus, apa yang dilakukan tidak menjadi. 

Tidak dinafikan memang terdapat banyak halangan yang tidak dijangka akan berlaku. Justeru, perancangan yang dibuat itu mesti boleh diubah mengikut keadaan semasa. Namun begitu, perubahan itu nanti tidak mengubah matlamat asal dan tidak hilang fokus.

Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi ialah kekal sesuai dan diterima umum. Masyarakat hari ini sentiasa berubah mengikut arus perubahan zaman. Kita diperkenalkan dengan istilah globalisasi, libralisasi, dunia tanpa sempadan dan pelbagai perkataan baru. 

Keadaan ini menuntut ahli berubah dan bersedia menerima perubahan. Sebab itu, rancangan yang dirangka perlulah bersesuaian dengan tuntutan semasa. UMNO tidak boleh lagi bernostalgia atau menggunakan kaedah lama dalam usaha menarik sokongan rakyat. 

Antara punca kejayaan Pakatan Harapan ialah pendekatan baru yang digunakan. Mereka mempunyai pendekatan khusus menarik perhatian pengundi, terutama golongan muda. Seluruh ahli parti perlu mempunyai kesatuan fikiran yang jelas, yakin, berwawasan, berfokus dan bermatlamat bagi menarik sokongan pengundi muda. 

Kuasa pengundi muda tidak boleh dipandang mudah. Kira-kira 40 peratus pengundi adalah terdiri pengundi muda. Satu lagi perlu diberi berhatian ialah pejawat awam. Jangan pandang mudah pengaruh pejawat awam dalam menentukan iklim politik. Biarpun mereka hanya berjawatan rendah, tetapi mereka sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar kerana mempunyai hubungan langsung dengan rakyat. 

Sebab itu, UMNO perlu menjalin hubungan lebih erat dengan pejawat awam. Mereka ini adalah aset terpenting yang boleh dijadikan barisan hadapan untuk mempertahankan kerajaan.

Satu lagi perkara ingin perlu ditekankan ialah menyuburkan semangat sukarela dalam parti. Kekuatan parti bergantung kepada semangat sukarelawan. 

Parti bukan syarikat atau organisasi bermotifkan keuntungan. Tidak ada ahli parti yang dibayar gaji atau upah. Semua ahli parti adalah sukarelawan parti. 

Dukacita apabila ramai ahli parti mengutamakan keuntungan kewangan dalam kerja-kerja parti. Terdapat ahli yang hanya melakukan tugas jika ada upah atau ganjaran berbentuk kebendaan. Jika keadaan ini berterusan, parti akan lemah dan seterusnya hancur.

No comments:

Post a Comment