Sunday 26 June 2022

PAHALA LAKSANA TUGAS SUAMI ISTERI

  
Islam menyediakan panduan membentuk kehidupan keluarga bahagia. Kehidupan rumahtangga memang banyak dugaan. Islam menyarankan agar sebarang permasalahan dalam rumah tangga diselesaikan dengan sebaik-baiknya. 
 
Seperti telah dijelaskan, perkahwinan bukan saja melibatkan pasangan berkenaan saja. Perkahwinan juga melibatkan hubungan keluarga dengan keluarga. 
 
Bahkan dalam misi yang besar, perkahwinan turut melibatkan hubungan antara dua negara. Perkara ini dapat dilihat pada era dahulu contohnya perkahwinan Sultan Melaka dengan Puteri dari China. Maka, jika berlaku masalah konflik hubungan suami isteri, ia turut melibatkan hubungan lain. 
 
Maka, kehidupan suami isteri perlu berlangsung dalam keadaan aman. Sebarang masalah perlu diselesaikan segera. Jangan ambil mudah sebarang riak atau tanda yang boleh menggongcang keharmonian rumah tangga. 
 
Banyak kes rumah tangga bermula dengan perkara kecil. Tetapi, disebabkan tidak ditangani segera, ia merebak kepada keadaan sukar dikawal. Akhirnya konflik yang berlarutan itu berakhir dengan perceraian. 
 
Talak dibenarkan seperti mana firman Allah bermaksud: “Tidak ada sesuatu dosa atas kamu jika kamu menceraikan isteri kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 236).  
 
Islam membenarkan perceraian jika perkahwinan yang dibina tidak mampu diselamatkan. Tindakan itu bagi memberi keadilan kepada kedua-dua pihak, keluarga. Paling penting ia dapat mengelak berlaku ketidakadilan dan penindasan dalam perkahwinan. 
 
Pun begitu, perceraian tidak boleh dibuat mudah. Budaya kahwin dan cerai yang berlaku perlu dihentikan kerana ia memberi kesan yang amat buruk kepada individu, anak-anak, keluarga dan masyarakat. 
 
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sebenci-benci perkara halal di sisi Allah ialah talak.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). 
 
Suami tidak boleh bertindak atau memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Isteri mempunyai hak untuk mendapat layanan terbaik daripada suami. Isteri bukannya hamba memuaskan nafsu suami semata-mata.  
 
Institusi perkahwinan adalah pelindung bagi wanita daripada perbuatan jahat lelaki yang tidak bertanggungjawab. 
 
Kebahagiaan yang diharapkan pada permulaan perkahwinan perlu diteruskan sepanjang masa. Semakin lama usia perkahwinan, sepatutnya semakin erat kasih sayang dan mendewasakan mereka dalam menghadapi cabaran hidup. 
 
Ingatlah, sesungguhnya institusi perkahwinan mempunyai banyak hikmah yang perlu dihargai oleh setiap pasangan suami isteri. Allah menjanjikan kebahagiaan bagi setiap pasangan yang mematuhi rukun berumah tangga. 
 
Suami yang baik mendapat pahala jihad dan kebajikan di atas setiap perkara yang dilakukan kepada isteri dan anak-anak. Manakala, isteri pula dijanjikan syurga jika dia melakukan amalan wajib dan taat kepada suami. 
 
Ini membuktikan bahawa Islam amat mementingkan agar kerukunan rumahtangga dikekalkan. Suami isteri perlu mengambil peluang balasan kebaikan yang diterima daripada kehidupan berkeluarga.

No comments:

Post a Comment