Saturday 10 June 2023

STESEN KERETA API GUA MUSANG

 
Di Kelantan, pembinaan landasan laluan Pantai Timur bermula pada tahun 1906 dan pada tahun 1914, sebuah landasan kereta api antara Tumpat dengan Pasir Mas dibuka kepada awam.

Sebuah landasan cabang antara Pasir Mas dengan Golok bertujuan untuk menghubungkan laluan ini dengan sistem kereta api di Golok, Thailand dibuka pada bulan September 1920.

Laluan kereta api antara Kuala Lipis dan Tumpat dibuka secara berperingkat dan siap sepenuhnya apabila landasan kereta api Gua Musang-Kuala Gris siap pada tahun 1931. 

Dengan pembinaan jalan kereta api ini, maka terjalinlah sebuah rangkaian kereta api dari Tumpat ke Gemas. Dari Gemas boleh terus sehingga ke Singapura atau naik ke utara sehingga ke Padang Besar.

Stesen kereta api Gua Musang menjadi stesen utama di Kelantan Selatan. Ia menjadi nadi utama untuk pengunjung ke Gua Musang. Sebelum tahun 1983, satu-satunya cara penduduk di Kelantan Utara untuk ke Gua Musang adalah menggunakan kereta api.
 
Stesen kereta api Gua Musang asalnya terletak di bandar lama Gua Musang, sebelum dipindahkan di lokasi sekarang. Jarak antara stesen lama dengan stesan sekarang hanya kira-kira satu kilometer.
 
Pemindahan stesen itu antara lain untuk mendapatkan kawasan lebih luas dan selesa kepada pengguna.
 
Stesen kereta api Gua Musang menyediakan perkhidmatan persinggahan antara bandar yang melibatkan tren dari Johor Baru dan Kuala Lumpur. Ia juga menjadi stesen terakhir bagi tren tempatan dari Tumpat, sebelum berpatah balik.
 
Stesen kereta api Gua Musang ini terletak di sebelah bukit batu kapur. Bukit batu kapur tersebut kini menjadi lokasi pendakian tebing yang semakin popular. Ada pihak diberi hak untuk mengendalikan aktiviti tersebut.
 
Gambar daripada internet. Kredit kepada pemilik asal.

No comments:

Post a Comment