Tuesday, 4 March 2025

KTMB PERKUKUH PERANAN KERETA API KARGO

 
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perkukuhkan peranan kereta api kargo melalui Operasi Lokomotif dan Gerabak Pajakan “Pay-As-Use”. Inisiatif pajakan lokomotif dan gerabak ini merupakan langkah strategik yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengangkutan kargo melalui rel, malah mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan dengan melibatkan sektor swasta dalam penyediaan aset rel.
 
Dengan penyertaan syarikat tempatan seperti SMH Rail, program ini akan merancakkan industri rel negara, memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir tempatan, serta mengoptimumkan penggunaan landasan yang kini hanya sekitar 30 peratus kapasiti.
 
Selain itu, peningkatan pengangkutan rel kargo akan membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dengan setiap tren kargo 40 gerabak menggantikan 80 lori, sekaligus mengurangkan kadar kemalangan serta pelepasan karbon sebanyak 50g/km lebih rendah berbanding lori, selaras dengan sasaran “pelepasan karbon sifar bersih 2050”.
 
Kerjasama erat antara sektor kerajaan dan swasta ini menandakan komitmen berterusan dalam menjadikan rel sebagai tulang belakang sistem pengangkutan negara dan pemacu utama dalam rantaian bekalan logistik yang lebih mampan dan cekap.
 
Pajakan dilakukan dengan SMH Rail, syarikat tempatan yang berpengalaman luas bukan sahaja di dalam negara, bahkan banyak di negara luar. Ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak, tetapi juga memperkasa industri rel negara.
 
Pajakan itu melibatkan lokomotif Siri G10 buatan Malaysia yang mesra alam, dibangunkan dengan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan rel. Menariknya, lebih 60 peratus komponen lokomotif ini dihasilkan di Malaysia, menjadikannya pencapaian penting dalam industri rel negara. 


No comments:

Post a Comment