Sunday, 14 August 2022

CEBURI KERJAYA BUKAN DIPELAJARI DI UNIVERSITI

  
Timbul rasa kecewa apabila gaji graduan sama dengan lepasan SPM. Itu hakikat yang dilalui para graduan. Berdasarkan kepada fakta tersebut, maka banyak graduan berasa tidak guna masuk universiti. Hilang kepercayaan kepada universiti. 
 
Menapa terjadi demikian? Universiti tidak patut dipersalahkan. Pihak universiti tidak pernah menjanjikan bahawa graduan akan mendapat pekerjaan dan gaji yang tinggi apabila tamat pengajian. 
 
Universiti atau apa-apa jenis tempat pengajian adalah tempat untuk menimba ilmu. Ya, dengan ilmu atau kelulusan dimiliki diharapkan graduan akan mudah mendapat pekerjaan yang berpendapatan tinggi berbanding individu hanya memilki kelulusan setakat sekolah menengah sahaja. 
 
Namun, itu bukan satu jaminan. Peluang pekerjaan kepada graduan semakin mengecil apabila banyak graduan dilahirkan setiap masa. Jadi, para graduan perlu bersaing sesama mereka untuk mendapat peluang pekerjaan. 
 
Graduan sepatutnya tidak hanya mencari peluang pekerjaan yang tersedia. Banyak lagi peluang pekerjaan yang boleh dilakukan mengikut kemampuan dan kesesuaian masing-masing. 
 
Biarpun mempunyai kelulusan berlainan, peluang pekerjaan dalam bidang lain masih terbuka, terutama dengan mencipta sendiri jenis pekerjaan. Dalam keadaan sekarang banyak graduan mencipta sendiri peluang pekerjaan dengan menyertai bidang perniagaan, pertanian, jualan langsung, insurans, perniagaan dalam talian dan sebagainya. 
 
Peluang pekerjaan dalam bidang berkenaan masih terbuka atau masih banyak ruang untuk diceburi. 
 
Bukan isu bidang berlainan berbanding kursus yang dipelajari, tetapi ‘kebijaksanaan’ dan ilmu diperoleh di universiti boleh diamalkan dalam juga bidang yang ingin diceburi jika berminat. 
 
Kena tengok contoh dunia, bukan berlegar dalam dunia sempit. Banyak orang berjaya bukan dalam bidang yang dipelajari di universiti. Mengapa graduan sekarang tidak mahu mencubanya?

No comments:

Post a Comment