Antara cara paling mudah untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan bertukar kepada makanan organik serta memperbanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet harian.
Namun ramai percaya dengan beralih arah kepada kepada organik ia menyekat keinginan untuk menikmati makanan yang diinginkan seperti nasi lemak, asam laksa atau mi kari.
Ini tanggapan yang salah. Ramai menganggap makanan organik kurang lazat dan enak. Ia hanya salah faham. Sebenarnya banyak hidangan berasaskan sayur-sayuran sangat sedap jika kena cara penyediaannya.
Perkataan organik yang digunakan dalam istilah makanan organik hanya merujuk kepada cara makanan itu dihasilkan iaitu teknik penghasilan makanan yang sepenuhnya secara semula jadi.
Dalam erti kata lain, makanan organik adalah makanan yang dikembangkan atau dihasilkan secara alami, tanpa ubat-ubatan, hormon pertumbuhan, antibiotik, vaksinasi, pewarna atau sebarang bahan kimia. Ia dihasilkan secara alami iaitu kembali kepada cara yang dilakukan nenek moyang kita dulu.
Oleh sebab makanan organik kaya serat, tetapi rendah gula dan lemak, ia boleh membantu mengurangkan risiko kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi yang berpunca daripada pemakanan kurang sihat.
Hasil tanaman dan produk yang disahkan organik juga tidak mengandungi racun perosak, perisa tiruan, pewarna dan pengawet. Oleh demikian, makanan organik berupaya membantu mengurangkan pendedahan kepada bahan kimia yang mengancam kesihatan.
Selain penghasilan makanan itu sendiri, gaya hidup sihat juga boleh dimulakan dengan menukar pengambilan makanan yang banyak memberi kesan kepada tubuh. Misalnya gula putih boleh ditukar kepada gula perang (organik) yang dihasilkan daripada nira kelapa dan sebagainya.
Begitu juga dengan minyak masak yang mengandungi kolesterol boleh ditukar kepada minyak biji anggur (grape seed oil) yang boleh digunakan menggoreng, membakar atau memanggang bagi menggantikan minyak zaitun.
Selain bebas kolesterol minyak ini dapat meningkatkan rasa makanan. Dengan hanya sedikit minyak biji anggur ia dapat menggantikan penggunaan minyak biasa sekali gus membolehkan kita menikmati makanan yang berkhasiat.
Ia dapat menambahkan kelazatan makanan dan menjaga tahap kolesterol dalam makanan. Apa yang perlu dilakukan adalah menukar bahan masakan sedikit demi sedikit sebelum melakukan perubahan lebih besar.
Kita sedia maklum pemakanan harian kita kekurangan serat. Oleh itu, dalam misi membentuk Malaysia yang lebih sihat, menambah kebaikan serat dalam masakan kegemaran dengan memilih sayur-sayuran dan produk organik.
Dalam semua tindakan itu, Islam mengajar kepada kesederhanaan. Tidak semestinya kita menjauhkan segala yang ada itu, tetapi yang penting ialah jangan keterlaluan dan tanpa kawalan.
Ambillah secara berhemah dan nikmati apa yang ada dengan rasa bersyukur dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga
Informasi yang sangat menarik, coba kalian baca juga nih Cara Budidaya Sayur Organik
ReplyDelete