Kesedaran untuk hidup sihat membuat orang mulai mencari makanan organik. Sekarang ini banyak pasar raya meletakkan tanda kategori sayur organik.
Rata-rata sayur organik lebih mahal berbanding sayur biasa. Namun, itu tidak menghalang mereka yang mementingkan kesihatan.
Dan, sekarang ini semakin ramai suri rumah menanam sendiri secara kecil-kecilan sayur untuk keperluan sendiri.
Sayuran organik tidak memerlukan tapak yang luas untuk menanamnya. Bahkan, ia tidak perlukan kawasan bertanah. Memadai ditanam di dalam pasu atau bekas terbuang.
Menanam sayur tidak bezanya dengan menanam bunga atau pokok perhiasan. Pokok sayur juga kelihatan cantik menghiasai laman rumah jika ditanam secara 'menarik' dan diatur secara tersusun. Dengan kata lain, ia tetap menarik dan cantik dipandang.
Ada pokok sayur yang juga berbunga dan kelihatan cantik. Buah cabai atau lada yang berwarna merah dan beberapa warna lain biasanya menarik minat ramai.
Ada yang kreatif menanam sayur di dalam bekas terbuang seperti bekas minyak masak, botol air mineral, tin biskut dan sebagainya yang digantung seperti pot pokok punga.
Banyak cara penanaman yang boleh digunakan untuk meningkatkan hobi ini. Ada sayuran yang boleh segera ditanam benihnya di dalam bekas, umpamanya kacang-kacangan, bayam cabut atau kangkung darat.
Ada juga yang benihnya perlu disemaikan dahulu di tempat pesemaian, umpamanya terung, tomat, cabai, kubis, selada, serta sawi. Tetapi untuk memperoleh tanaman yang pertumbuhannya baik, baiknya benih disemaikan dahulu di tempat semai.
Medium untuk tanaman biasanya menggunakan tanah yang kaya organik. Tanah ini biasanya berwarna perang atau coklat. Ia gembur dan tidak padat. Untuk mudah, elok dibeli di kedai semaian.
Konsep organik ialah tidak menggunakan baja kimia dan racun serangga. Untuk pertumbuhan sayur, gunakan baja kompos yang dibuat sendiri dengan gunakan makanan terbuang, tahi binatang atau baja bakar.
Sekarang banyak tahi binatang seperti tahi ayam, kambing dan lembu telah diproses menjadi baja organik. Harganya berpatutan dan mudah digunakan.
Kesan baunya telah dihilangkan melalui proses yang dilakukan sebelum ia dimasukkan ke dalam plastik atau guni sebelum dipasarkan.
No comments:
Post a Comment