Banyak organisasi kesihatan dunia kini menggalakkan orang ramai mengurangkan pengambilan daging untuk meningkatkan taraf kesihatan.
Satu kajian pada 2010 oleh Jabatan Kesihatan Awam di Universiti Oxford mendapati mengambil daging tidak melebihi tiga kali seminggu boleh mengurangkan 31,000 kematian akibat penyakit jantung, 9,000 kematian akibat kanser dan 5,000 kematian akibat strok.
Satu kajian oleh Persatuan Diabetes Amerika mendapati mereka yang mengamalkan pemakanan tanpa daging juga mengalami pengurangan risiko diabetes jenis 2.
Perangkaan kesihatan mendapati rakyat di negara yang kerap mengambil daging lebih tinggi kadar diserang penyakit jantun dang kanser.
Kadar pengambilan daging perkapita penduduk Malaysia meningkat setiap tahun hasil kemakmuran dan kekayaan negara.
Pada tahun 1961 kadar pengambilan daging hanya 13.2 kg, bertambah menjadi 52.35 kg pada tahun 2009.
Biarpun negara mempunyai bekalan tidak cukup untuk memenuhi permintaan daging, ia mampu diimport dari luar negara.
Rakyat Malaysia sanggup membayar mahal demi untuk mendapat daging yang diingini. Daging lembu segar di negara kita kini mencecah harga lebih RM20 sekilo.
Sejajar dengan peningkatan kesedaran mengenai manfaat kesihatan apabila mengurangkan pengambilan daging, kempen ‘Isnin Tanpa Daging’ kini berkembang di seluruh dunia.
Kempen ini menggalakkan orang ramai tidak mengambil daging pada hari Isnin bagi meningkatkan kesihatan badan dan kelestarian bumi.
Pengeluaran daging menjana hampir 20 peratus gas kesan rumah hijau buatan manusia yang mempercepatkan perubahan iklim dan menggunakan 20 kali lebih bahan api untuk menghasilkan bahan makanan untuk lembu ternakan bagi memperoleh protein daging berbanding protein berasaskan tumbuhan.
Kempen Isnin Tanpa Daging juga menjadi permulaan kepada seluruh rakyat Malaysia mengubah pemakanan mereka menjadi lebih sihat.
Mungkin bermula dengan sehari dalam seminggu kemudian ditambah kepada dua hari dan anda akan merasakan badan menjadi lebih sihat dan bertenaga apabila banyak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan.
Rakyat Malaysia sudah terbiasa dengan masakan enak, terutamanya berasaskan kari dan daging. Malangnya keghairahan terhadap makanan enak menyebabkan makanan dihasilkan kurang menyihatkan.
No comments:
Post a Comment