Sunday 20 December 2020

KLINIK KESIHATAN JEREK GUA MUSANG

 
Malaysia merupakan antara negara terbaik di dunia dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Di mana sahaja ada penampatan penduduk, maka di situ akan wujud perkhidmatan Klinik Desa atau Klinik Kesihatan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk. 
 
Salah satu Klinik Kesihatan yang dianggap berada jauh di pedalaman ialah Klinik Kesihatan Jerek. Dalam konteks perkhidmatan, di sesuatu klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia, maka di situ ada penempatan doktor, selain staf perubatan lain seperti pembantu perubatan, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan farmasi serta bahagian sokongan. 
 
Jika disebut Kampung Jerek, pastinya bagi mereka yang mengetahuinya akan tergambar satu kampung jauh di pedalaman. 
 
Kampung Jerek mamang jauh di pedalaman. Jerek juga digunakan sebagai nama untuk merujuk kepada satu mukim di Gua Musang. Maksudnya ada dua dirujuk kepada ‘jerek’ iaitu Mukim Jerek dan Kampung Jerek. 
 
Mukim-mukim lain di jajahan Gua Musang ialah Ketil, Pulai, Renok, Bertam Baru, Bertam, Batu Papan, Kuala Sungai, Kuala Betis, Limau Kasturi, Relai Utara dan Relai Selatan. Terdapat sebanyak 13 mukim kesemuanya di jajahan Gua Musang. 
 
Seperti dinyatakan, Kampung Jerek memang jauh di pedalaman. Kampung Jerek terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Gua Musang. Jarak dari Kota Bharu pula antara 170 kilometer sehingga 190 kilometer mengikut laluan yang dilalui. 
 
Jarak Kampung Jerek ke Kota Bharu melalui Dabong - Jeli - Lalang Pepuyu - Rantau Panjang - Pasir Mas - Kota Bharu ialah 170 kilometer. 
 
Manakala jarak perjalanan melalui Dabong - Jeli - Machang - Kota Bharu sejauh 180 kilometer. 
 
Satu lagi laluan ialah Dabong - Sungai Sam - Kuala Krai - Kota Bharu pula sejauh 190 kilometer. 
 
Pengakutan terawal untuk ke Kampung Jerek ialah melalui sungai dan kereta api. Terdapat stesen kereta api untuk perjalanan antara stesen dalam negeri iaitu Stesen Jerek Baru. Penggunaan kereta api banyak dimanfaatkan oleh pelajar sekolah. 
 
Selain kemudahan Klinik Kesihatan, di Kampung Jerek juga terdapat kemudahan sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Jerek. Manakala sekolah menengah pula Sekolah Menengah Tengku Bendahara. Terdapat juga sekolah tahfiz iaitu Sekolah Tahfiz Fakir Miskin dan Anak Yatim (SATYATIM). 
 
Kemudahan lain terdapat di Kampung Jerek ialah Perpustakaan Desa Jerek. Turut tersedia ialah masjid, dewan orang ramai, padang permainan dan kemudahan asas lain.

No comments:

Post a Comment