Satu
perkara yang disarankan kepada kita ialah ingatkan mati. Ingat mati bukan untuk
melemahkan semangat terus berjuang untuk hidup. Ingatkan mati bukan bermakna
kita berdoa untuk cepat mati.
Sebaliknya,
apabila kita ingat mati akan memberi motivasi untuk lebih aktif dan kuat ibadat.
Kita akan lebih menumpukan aktiviti melakukan kebaikan dan menjauhkan perkara
buruk. Ini kerana kita sedar perlu membawa banyak bekalan pahala ke akhirat
nanti.
Generasi
umat Islam yang paling aktif bekerja dan menggunakan masa dengan berkesan
adalah para sahabat dan salaf soleh.
Mereka
berjaya menakluk dunia, membangun tamadun dan mengembangkan dakwah Islam dalam
masa yang sangat singkat. Semua itu kerana berpegang kepada pesanan Nabi SAW
agar selalu mengingat kematian.
Rasulullah
SAW bersabda: Perbanyakkanlah mengingat penghancur semua kelazatan, iaitu
maut." (Hadis riwayat Tirmizi)
Ingat
mati membuat kita lebih menghargai hidup. Kita akan merasa bersyukur setiap
kali bangun di pagi hari kerana masih berpeluang untuk menambahkan akaun pahala
kita. Kita juga bersyukur masih diberikan kesempatan untuk meminta ampun atas
dosa-dosa dan kesalahan kita.
Besarnya
nikmat kehidupan hanya benar-benar terasa apabila malaikat maut datang
menjemput. Pada saat itu, kita akan berharap untuk kembali ke dunia supaya
melakukan amalan yang selama ini tidak pernah kita lakukan. Namun permintaan
itu tidak akan dilayan apalagi dituruti.
Abu
Hazim Salah bin Dinar berkata: "Barang-barang akhirat pada saat ini sedang
murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang ini akan menjadi sangat mahal dan
tidak mampu dibeli."
Daripada
Abu Hurairah: Suatu hari Rasulullah SAW sedang berlalu di atas sebuah kubur
(mayat) yang baru dipendam. Baginda lalu bersabda: “Dua rakaat singkat
yang kalian anggap ringan, lebih ia sukai oleh ahli kubur ini daripada dunia
dan seisinya." (Ibnu Al-Mubarak dalam kitab Al-Zuhd)
Ingat
mati mendorong kita untuk merancang kehidupan dengan lebih baik. Kita menjadi
lebih pandai untuk mempraktikkan asas keutamaan dalam hidup dan lebih pandai
menundukkan hawa nafsu.
Rasulullah
SAW bersabda: “Orang yang pandai adalah dia yang selalu mengawal nafsunya dan
bekerja untuk kehidupan setelah mati." (Hadis riwayat Tirmizi)
Ingat
mati akan membuat hati kita hidup. Kita semakin bijak dalam menimbang dan
mentafsirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku di muka bumi ini secara positif.
Minda kita terbuka kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam hidup, lalu
berusaha untuk meraihnya.
Ramai
orang yang tertipu oleh syaitan dan dunia. Mereka beranggapan wang dan jawatan
lebih penting daripada segalanya, bahkan daripada iman dan Islamnya. Apabila
maut menghampiri nanti, kedua-duanya tidak akan berguna sama sekali.
Sebaliknya,
amal ibadah dan kerja-kerja kemanusiaan yang selama ini diremehkan suatu hari
nanti akan menjadi sesuatu yang sangat berharga.
Rasulullah
SAW bersabda: Tiga perkara yang akan mengiringi jenazah ke kubur; hartanya,
keluarganya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan meninggalkannya dan yang
tinggal hanyalah amalannya. (riwayat al-Bukhari)
Sungguh
beruntung orang yang selalu ingat kematian dan beramal agar mendapat kehidupan
yang lebih baik di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment