Di Kelantan, satu-satunya kolam renang yang ada untuk
latihan renang adalah Kolam Renang Sultan Yahya Petra, Kota Bharu yang terletak
di sebelah Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Bharu, Kompleks Sekolah-sekolah
Wakaf Mek Zainab.
Kolam Renang Sultan Yahya Petra, dibina pada tahun 1972
selari dengan pembinaan beberapa sekolah yang terletak di kompleks sekolah
tersebut. Ia kekal digunakan untuk latihan renang sehingga sekarang.
Kolam renang tersebut perlu dinaik taraf bagi memastikan
keselamatan pengguna terutamanya anak-anak kecil yang menyertai program Kemahiran
Latihan Asas Sukan: Renang (KLAS Renang).
Diharap rancangan baik pulih yang dicadangkan Kementerian
Belia dan Sukan (KBS) dapat disegerakan, dengan kerjasama Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pemilik fasiliti ini. Kolam renang bukan
sekadar infrastruktur sukan tetapi penyelamat nyawa.
KLAS Renang merupakan inisiatif KBS menerusi Jabatan Belia
dan Sukan Negeri (JBSN) yang dijalankan secara percuma bagi mengurangkan kadar
kematian akibat lemas.
Inisiatif ini telah dilancarkan pada 13 Mei 2023 dengan
hasrat mendedahkan kumpulan sasar kepada teknik asas berenang yang mampu
menyelamatkan nyawa serta meningkatkan ilmu peserta tentang kaedah berenang
yang betul dan selamat serta mengatasi ketakutan dalam air.
Semoga usaha ini dapat memperkasakan lagi hasrat KBS di
dalam membudaya dan merakyatkan sukan selaras dengan aspirasi di bawah Visi
Sukan Negara 2030 (VSN 2030) dan kerangka Malaysia MADANI.
No comments:
Post a Comment