Hias rumah sebagai terapi minda.
Kesihatan minda tidak kurang pentingnya dengan kesihatan
fizikal. Kedua-duanya saling menyokong. Minda yang baik datangnya daripada
fizikal yang sihat. Begitu juga fizikal yang kuat lahir daripada minda yang
sihat.
Terapi minda ialah proses atau kaedah pemulihan untuk
menenangkan fikiran, mengurus emosi, dan melegakan tekanan mental tanpa
bergantung kepada ubat atau pembedahan.
Satu daripada cara untuk terapi minda ialah melakukan
aktiviti mencantikkan utau menghiasi laman rumah.
Mulakan dengan mengekalkan ruang yang bersih, kemas, dan
dipenuhi kehijauan yang menenangkan. Laman yang tidak perlu besar atau mewah
sudah memadai asalkan sedap mata memandang setiap kali melangkah keluar.
Idea utama untuk hiasan laman terapi minda ialah melalui susun
atur pokok hiasan. Biar nampak cantik, kemas dan tidak serabut. Kalau tidak
kemas, itu bukan terapi minda, tetapi merosakkan minda.
Gabungkan tanaman berdaun hijau dan berwarna seperti
bromeliad untuk menaikkan seri sudut laman. Sesuaikan kombinasi warna mengikut
ruang laman rumah.
Manfaatkan ruang sempit: Walaupun halaman terhad atau
memanjang, susunan pasu bertingkat atau di tepi laluan tetap boleh mencipta
sudut santai.
Kalau ada kewangan yang cukup, wujudkan unsur air dan
suasana tenang: Bunyi aliran air atau sudut bergaya santai membantu meredakan
tekanan selepas seharian bekerja atau tekanan hidip.
Jadikan rutin harian untuk melakukan aktiviti mengemas atau
menyusun kembali kedudukan pasu atau tanaman. Luangkan beberapa minit pada
waktu pagi untuk menyapu, menyiram, dan merapikan tanaman bagi memulakan hari
dengan rasa positif.
Tentukan gaya dan bajet yang diinginkan agar tidak pula
membebankan fikiran tentang kos dan kemampuan untuk menjaganya.
Bagi individu yang berusia, pilihlah pasu yang kecil, kolam
kecil atau penyelenggaraan yang rendah dan mudah.
Apa yang penting kita suka apa yang dilakukan dan mendatangkan
kepuasan. Itulah terapi minda.

Hai Abg Tn Lokman. Apo khobar. Moga sehat cerio selalu. Tqvm ateh sokongan
ReplyDelete