Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan takrif maksud Melayu sebagai
nama suatu bangsa dan bahasa (terutama di Semenanjung Malaysia); masuk Melayu
a) mengikut cara hidup orang Melayu; b) masuk Islam; memelayukan menterjemahkan
ke dalam bahasa Melayu, menjadikan bersifat atau menunjukkan ciri-ciri bahasa
Melayu: Melayu istilah ilmiah; kemelayuan ciri atau sifat yang memperlihatkan
keperibadian orang Melayu: suasana kampung yang masih terikat erat dengan
tradisi dan adat-istiadat Melayunya; golongan yang mahu unsur Melayu diutamakan;
pemelayuan perihal (perbuatan dan sebagainya) memelayukan: Melayu istilah.
Manakala Kamus Pelajar Edisi Kedua pula mendefinisikan Melayu sebagai
nama asal bangsa yang mendiami seluruh daerah Nusantara di Asia Tenggara serta
bahasanya. Nama suku bangsa, terutama sekali di Semenanjung Tanah Melayu: masuk
Melayu mengikut cara hidup orang Melayu. memelayukan menterjemahkan ke bahasa
Melayu. kemelayuan sifat atau ciri yang menunjukkan keperibadian Melayu.
Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu'
sebagai seseorang yang ber agama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu,
melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di
Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan,
atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura;
atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
Justeru, jika salah satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka
seseorang itu tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang Melayu menjadi murtad atau keluar
agama Islam, secara automatik orang tersebut tidak lagi dianggap Melayu menurut
undang-undang dan akan terlucut daripadanya hak-hak keistimewaan Melayu yang
dinikmatinya sebelum ini.
Secara tidak langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut,
dilihat dapat memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menajdi murtad.
Namun, dari sudut yang lain, terdapat kecenderungan dalam kalangan
masyarakat untuk mengaitkan Melayu dengan Islam dalam semua perkara sehingga ke
tahap ada yang mengatakan jika seseorang memeluk Islam ia seolah-olah 'masuk
Melayu'.
Tidak dapat dinafikan, sentimen 'Melayu itu Islam' dan 'Islam itu
Melayu' yang begitu tebal di dalam masyarakat Malaysia adalah disebabkan
definisi Melayu sebagai Muslim dan kerana kaum Melayu adalah kaum majoriti di
Malaysia.
Melayu layak menikmati hak-hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan
di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 tersebut antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang
Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa
persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi
awam.
Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan
pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera
(ASB).
Maka itu, berdasarkan kepada peruntukan Perlembagaan, amat penting
Melayu memperjuangkan kedudukan Melayunya.
Dalam konteks penilaian sekarang, Melayu mesti Islam. Kalau setakat
tidak fasih berbahasa Melayu tidak ada siapa hendak mempertikaikan sama ada dia
Melayu atau tidak.
Pun begitu, Islam tidak sekadar pada nama Melayu. Islam bukan setakat
pada pengakuan bahawa dia adalah Islam. Islam mesti dibuktikan dengan amalan.
Inilah yang menjadi persoalan adakah orang Melayu sekarang ini Islam?
Perkara ini dibangkitkan kerana banyak orang Melayu sekarang ini hanya
Islam pada nama. Sedangkan cara hidup dan amalan yang dilakukan seharian jauh
daripada apa yang dianjurkan oleh Islam.
Maka itu, dalam kita mencari kebenaran bahawa Melayu itu Islam, perlu juga
kita melihat kepada perlaksanaan peraturan atau cara hidup yang berkaitan
dengan penganut agama Islam. Kita tidak mahu Islam hanya pada nama
sahaja.
No comments:
Post a Comment