Thursday, 6 October 2016

TANDA RUNTUH NILAI KEMANUSIAAN

Tindakan menghina seseorang tanda runtuhnya nilai moral kasih sayang dan saling menghormati. Ingatlah tiada siapa berhak menghina orang lain dengan apa cara sekalipun.

Hal ini terjadi berpunca mata kalbu (hati) telah buta daripada melihat nilai hidup sebagai manusia.  Allah menjelaskan tentang mata dan telinga kalbu yang memainkan peranan meletakkan seseorang kepada taraf insan dan membezakan seseorang daripada alam haiwan. 

Firman Allah dalam surah al-Araf, ayat 79 bermaksud: “Mereka mempunyai kalbu tetapi tidak mengambil faham (berfikir) dengannya, mereka mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat denganya dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mendengar dengannya.  Mereka itu adalah seperti binatang ternakan, malah mereka itu lebih sesat.”

Mata dan telinga yang dimaksudkan ayat di atas bukanlah mata dan telinga jasmani, tetapi merujuk kepada mata dan telinga kalbu.  Kalbu yang telah dirasuk perasaan sombong dan angkuh tidak takut hukum Allah dan jauh sama sekali undang-undang ciptaan manusia.

Orang melakukan penghinaan terhadap orang lain menunjukkan lagak berkuasa, sedangkan sebenarnya dia tidak mempunyai apa-apa kuasa melainkan apa yang dipinjamkan Allah kepadanya. 

Allah amat murka kepada orang yang merasa dirinya lebih berkuasa dan bertindak sesuka hati.   Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-gunung.” - (Surah al-Isra, ayat 37).

Allah memberi kelebihan dan kekuatan untuk tujauan membuat kebaikan dan bukannya menghina orang lain. 

Islam mementingkan ikatan kasih sayang dan hormat menghormati melarang sebarang bentuk  penderaan dalam semua bentuk sama ada fizikal maupun emosi. 

Sesungguhnya Rasulullah menjelaskan bahawa bukan di kalangan umat baginda sesiapa tidak menghormati orang tua. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami.” - (Hadis riwayat Tabrani).

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah menjelaskan sesiapa yang ingin dikasihi, maka dia terlebih dulu perlu mengasihi orang lain.  Perbuatan itu jelas memperlihatkan bagaimana kesan hubungan timbal balas sesama manusia.  Jika kita mengasihi orang lain, orang itu akan membalas kasih sayang itu dan diikuti oleh orang lain di sekelilingnya secara timbal balas dan berterusan.

No comments:

Post a Comment