Wednesday, 4 March 2020

CONTOH TEKS UCAPAN PERASMIAN PENUTUP SEMINAR PEMIDATO

Pada kesempatan ini,  ingin saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua peserta yang berjaya mengikuti sepenuhnya seminar pemidato yang bermula pada pagi tadi hingga petang ini. 

Tidak lupa juga ucapan syabas kepada Biro Latihan serta Biro Penerangan yang bertindak selaku penganjur seminar kali ini.

Seterusnya, setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada Unit Gerak Saraf Perang Saraf Cawangan Kelantan, yang turut terlibat menjayakan program amat berguna ini.  

Saya penuh yakin dan percaya seminar sehari ini dapat memberi kesan yang besar kepada para peserta. Pendedahan teknik berpidato dan juga isu-isu semasa yang disampaikan oleh kedua-dua pembentang kertas kerja. 

Begitu juga dengan ucapan perasmian oleh Ketua Penerangan diharap dapat memberi keyakinan dan rangsangan kepada tuan-tuan untuk menjadi pemidato yang baik.

Sesungguhnya, tanggungjawab dan peranan pemidato atau penceramah amat penting terutama ketika proses kempen pilihan raya berlangsung. 

Langkah awal dan proaktif yang dibuat oleh Biro Latihan dan Biro Penerangan menganjurkan seminar pemidato ini diharapkan dapat menyediakan barisan pemidato yang hebat dari segi kebolehan atau gaya penyampaian, bahkan lebih penting ialah maklumat, hujah atau isu yang disampaikan.

Jika disebut perkataan pemidato, tentu bunyinya hebat dan hanya orang tertentu saja layak dipanggil pemidato. Ia satu nama besar dan hebat pada pandangan masyarakat. Mereka menyampaikan sesuatu yang tidak diketahui atau kurang kurang difahami oleh orang ramai sebelum ini.

Tambahan pula, seorang pemidato perlu berada di hadapan khalayak ramai yang mungkin jumlahnya ratusan atau ribuan orang. Kurang pengalaman dan pendedahan akan menyebabkan seseorang tidak mampu untuk berdiri dan apa lagi untuk berucap.

Justeru itu, seminar begini diharapkan dapat memberi keyakinan kepada tuan-tuan untuk menjadi pemidato lebih baik.  Bagi mereka yang baru mula diserapkan sebagai pemidato, tuan-tuan perlu menanam keyakinan diri untuk menjadi pemidato dan seterusnya menyampaikan ceramah nanti.

Sebenarnya, seorang pemidato tidak terus menjadi hebat dan baik. Sebaliknya ia melalui proses pembentukan yang berterusan melalui pengalaman dan berkongsi pengetahuan dengan mereka yang sudah berpengalaman. 

Pengalaman tidak akan datang jika kita tidak mulakan langkah pertama. Maka itu, saya cadangkan kepada Biro Penerangan agar dapat mengadakan siri ceramah secara kecil melibatkan kelompok tertentu untuk membiasakan atau memberi pengalaman kepada penceramah baru.

Pada peringkat awal ini elok jika mereka turut dibimbing oleh penceramah yang telah berpengalaman. Saya percaya, di kalangan pemimpin Bahagian terdapat ramai yang boleh dikategorikan sebagai penceramah hebat yang bukan saja terkenal di Kota Bharu, bahkan di seluruh Kelantan dan juga pernah dijemput menyampaikan ceramah di luar Kelantan. 

Rasanya tidak perlu saya menyebut satu persatu nama tokoh penceramah hebat yang ada di Kota Bharu, kerana tuan puan sedia maklum siapakah mereka itu.

Perlu ditegaskan di sini, seorang penceramah yang baik mempunyai karisma dan gaya tersendiri. Sebab itu, untuk menjadi seorang penceramah yang baik kita tidak perlu meniru atau menjadi orang lain. 

Apa yang lebih penting ialah,  sebagai seorang penceramah kita perlu mencari teknik dan pendekatan tersendiri untuk menarik perhatian pendengar dan seterusnya maklumat yang disampaikan dapat diterima dengan baik.

Suara yang kuat, lantang dan gaya badan yang hebat belum tentu menghasilkan satu pidato yang baik. Sebaliknya, orang ramai lebih tertarik dengan pemidato yang dapat menyampaikan sesuatu perkara atau isu secara tersusun, jelas, tepat, terkini dan menyakinkan.

Sebab itu, sebagai pemidato tuan-tuan perlu sentiasa memperluaskan ilmu pengetahuan mengenai sesuatu isu yang akan disampaikan. Perlu diingatkan, pendengar atau audien bukan orang bodoh yang akan menerima bulat-bulat apa yang kita sampaikan. 

Mungkin di kalangan audien itu tahap pengetahuannya lebih hebat dan bijak dari kita. Dia tentu akan hilang keyakinan dan minat untuk terus mendengar ucapan kita jika menyedari apa yang disampaikan itu tidak tepat, lapuk dan yang sudah diulang-ulang banyak kali.

Maka sebab itu, proses penguasaan dan kemaskini maklumat amat penting dilakukan oleh setiap penceramah. Fakta dan maklumat yang kita tahu betul serta tepat pada hari ini mungkin akan menjadi satu maklumat salah dan basi pada hari esok. 

Maka itu, seorang penceramah yang hebat dengan fakta dan hujah pada hari ini mungkin akan 'dibooo' pada esok hari jika dia masih menyampaikan perkara yang sama, sedangkan fakta yang sebenar telah bertukar.

Justeru itu, tuan-tuan yang bakal melaksanakan tugas sebagai penceramah tidak harus berpuas hati sekadar apa yang diperoleh pada hari ini. Teruskan usaha pemburuan dan menguasai isu-isu semasa dengan baik. 

Dunia hari ini tidak sukar untuk kita mendapat maklumat terkini. Istilah dunia tanpa sempadan membolehkan kita mendapat maklumat terkini hanya beberapa minit atau beberapa jam selepas sesuatu peristiwa birpun ia berlaku beribu-ribu kilometer jauhnya dari tempat kita. 

Penggunaan internet dan alat komunikasi canggih menjadikan dunia hari ini semakin kecil. Jika dulu, kita hanya menanti esok hari untuk mendapat berita daripada akhbar, tetapi sekarang ini semua maklumat hanya di hujung jari boleh dicapai serta merta.

Namun perlu diingatkan di sini agar, tuan-tuan hanya menerima atau menggunakan maklumat dari sumber yang sah sahaja. Jangan sekali-kali mudah percaya atau menerima maklumat dari media yang tidak bertanggungjawab yang menyiarkan berita fitnah dan tidak benar.

Saya berharap juga, seminar ini bukan saja memberi pendedahan mengenai cara-cara menjadi pemidato, tetapi juga memberi satu anjakan paradigma dan pembinaan jati diri sebagai seorang muslim sejati yang memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan tanahair tercinta Malaysia. 

Sesungguhnya harapan ini adalah selaras dengan sambutan Maal Hijrah yang baru disambut. Kita perlu menanam iltizam untuk lebih bersatu dan bersemangat melaksanakan tugas-tugas nanti.

Sekali lagi saya melahirkan rasa keyakinan bahawa seminar ini akan membantu tuan-tuan untuk menjadi pemidato yang dapat membantu parti dalam usaha menarik sokongan rakyat.

Sesungguhnya, seminar ini tidak membawa apa-apa erti jika tuan-tuan tidak mengamalkan atau memanfaatkan apa yang diperoleh sepanjang seminar ini. 

Ini saya memberikan satu analogi yang mudah. Jika kita diumpamakan sebagai gelas, jangan sekali-kali kita menjadi gelas yang tertutup yang tidak sudi menerima apa-apa disebabkan sikap ego dan sombong. 

Atau, jangan kita menjadi gelas yang terbuka pada bahagian atasnya, tetapi ada pula lubang di sisi yang lain yang mengeluarkan apa yang dimasukkan.

Begitu juga, diharapkan kita tidak menjadi gelas yang sudah penuh sehingga  melimpahkan apa-apa yang dimasukkan ke dalamnya. 

Sebaliknya, hendaknya kita semua menjadi gelas yang bersedia menerima segala bentuk kebaikan yang dicurahkan dan kemudia disimpan untuk tujuan kebaikan.

Marilah kita bersama-sama bertekad untuk berubah menjadi lebih baik. Cuba kita renungkan kata-kata Saidina Umar yang bermaksud: Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini." 

Dengan lafaz yang mulia, Bismillahi Rahmani Rahim, saya merasmikan penutupan Seminar Pemidato ini dengan rasminya. Sekian.

No comments:

Post a Comment