Thursday, 11 February 2021

BERUSAHA MENDAPAT REZEKI HASIL USAHA SENDIRI

 
Setiap orang perlu melakukan sebarang pekerjaan yang mendatangkan rezeki halal. Sekarang ini peluang pekerjaan dalam bidang tertentu amat terbatas. Contohnya jawatan dalam sektor kerajaan amat terhad.  Banyak siswazah menjadi penganggur biarpun telah menamatkan pengajian beberapa tahun. 
 
Namun ini tidak bermakna peluang pekerjaan tertutup langsung. Masih banyak bidang yang memerlukan tenaga kerja seperti dalam sektor pembinaan, perladangan, perkapalan, perkilangan dan perkhidmatan. Sebab itu, banyak pekerja asing yang datang mengisi kekosongan peluang pekerjaan yang tidak diisi oleh rakyat tempatan.  
 
Peluang pekerjaan ini perlu direbut bagi mengelak daripada menjadi penganggur. Semua jenis pekerjaan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh mendatangkan pendapatan yang lumayan.  
 
Sekarang ini kerajaan amat menekankan kepada perkembangan dan pengukuhan sektor pertanian. Sektor pertanian mampu menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada sesiapa yang berminat. Malah, lebih menarik lagi, sektor pertanian mampu memberi pulangan yang lumayan jika diusahakan secara berskala besar dan bersistematik. 
 
Allah tidak memandangn mulia atau hina sesuatu pekerja berdasarkan ‘taraf’ penilaian dibuat oleh manusia. Semua pekerjaan yang mendatangkan kebaikan adalah mulia. Apa lagi jika pekerjaan itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas. Rezeki daripada hasil usaha sendiri amat bermakna untuk kebahagiaan hidup diri sendiri dan ahli keluarga. 
 
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seseorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan daripada usaha tangannya sendiri.”  (Hadis riwayat Bukhari). 
 
Belia yang telah mampu melakukan usaha mencari rezeki sendiri sepatutnya merasa berbangga telah mampu berdikari. Bermulalah melakukan pekerjaan yang sesuai dengan tahap pendidikan, pengalaman dan kemampuan.  
 
Melakukan pekerjaan yang dapat membina asas kehidupan masa depan perlu dilakukan seawal mungkin. Kejayaan dalam apa jua bidang tidak mampu dicapai dengan mudah. Biasanya, individu yang berjaya dalam hidup melakukan usaha dari peringkat bawah. Masa yang diambil juga lama dan banyak tenaga perlu dikorbankan.  
 
Jadi, belia tidak sepatutnya melengah-lengahkan masa untuk mula bekerja. Terdapat belia atau remaja yang memberi alasan mengatakan masa muda untuk bersukaria. Sebab itu, mereka tidak perlu tergesa-gesa mencari pekerjaan yang akan mengokong kebebasan.  
 
Alasan tersebut dicipta golongan yang ingin melihat belia musnah dalam impian kosong mereka. Mereka yang tidak berkerja lebih mudah terdedah dengan aktiviti tidak sihat yang merugikan diri sendiri, keluarga dan negara. Bekerjalah kerana itu satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dilakukan oleh setiap orang.

No comments:

Post a Comment