Thursday, 4 February 2021

TANGGA KRAI TEMPAT MENYUKAT PARAS AIR SUNGAI KELANTAN

 
Setiap kali musim banjir atau apabila berlaku hujan lebat di hulu Sungai Kelantan, maka nama Tangga Krai akan kerap diulang atau disebut di media massa dan media maya atau internet. 
 
Hal tersebut berlaku disebabkan Tangga Krai menjadi salah satu tempat menyukat paras air di Kelantan untuk menentukan atau peringatan mengenai banjir. 
 
Paras air pada satu-satu masa di Tangga Krai akan memberi gambaran atau jangkaan mengenai paras air di Kota Bharu dalam tempoh masa beberapa jam kemudian. Jarak antara Tangga Krai atau bandar Kuala Krai dengan bandar Kota Bharu kira-kira 70 kilometer. 
 
Tangga Krai terletak di bandar Kuala Krai di tepi Sungai Kelantan dan bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai. Ia terletak kira-kira 200 meter dari stesen bas dan teksi Kuala Krai dan kurang daripada 5 minit berjalan kaki. 
 
Tangga Krai dibina sekitar tahun 1927 dan awalnya dikenali sebagai “Tangga Bradley” sempena nama ketua jajahan pada ketika itu. Nama Tangga Bradley ditukar kepada “Tangga Krai” pada tahun 1994. 
 
Ia berfungsi sebagai pengkalan pengangkutan air menghubungkan Kuala Krai dengan beberapa  perkampungan di hulu dan hilir bandar yang tidak boleh sampai melalui jalan darat. 
 
Tangga Krai mempunyai 81 anak tangga amat berkepentingan  kepada sesetengah petempatan sebagai nadi perhubungan dengan Kuala Krai sehingga hari ini.

No comments:

Post a Comment