Hasil
kajian selama bertahun-tahun terhadap spesis burung gagak sangat mengejutkan,
terutama dalam melihat keupayaan serupa pada kehidupan haiwan ini.
Hasil kajian saintis barat, Brend Heinrich dan Thomas Bugnyar, dari Vermont
University, Kanada dan St Andrews University, Scotland, menunjukkan bahawa
burung gagak tidak seperti burung-burung lain.
Ia memiliki kecerdasan yang sangat tinggi dan dalam banyak perkara, burung ini
mampu menggunakan logik untuk memecahkan masalah, mengatasi kecerdasan monyet.
Dengan kata lain, burung gagak seolah-olah mengetahui apa yang yang perlu
dilakukan.
Dalam Proceeding of the Royal Society, sebuah jurnal penyelidikan sains
fizikal, pengkaji telah menjalankan satu siri eksperimen ke atas lima ekor
burung gagak.
Dalam kajian itu, beberapa kepingan daging digantung pada tali bertujuan untuk
melihat bagaimana burung gagak menyelesaikan masalah untuk mendapatkan makanan.
Hasilnya, kelima-lima burung itu mampu menggunakan logik dengan menarik tali
untuk mendapatkan daging. Kebolehan ini disifatkan sebagai sangat jarang
berlaku dalam kalangan haiwan.
Sebelum penemuan sains, kecerdikan burung gagak sebenarnya telah pun dijelaskan
menerusi kisah dua putera Nabi Adam a.s. (Qabil dan Habil) dalam Al-Qur'an.
Firman Allah SWT yang bermaksud, "Maka hawa nafsu abang (Qabil)
menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnya, maka
jadilah ia seorang di antara orang-orang yang rugi." (Surah Al-Maaidah
ayat 30)
Dalam surah yang sama ayat 31 dikisahkan: "Kemudian Allah menyuruh seekor burung
gagak menggali-gali bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana
seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata si abang, "Aduhai celaka
aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat
menguburkan mayat saudaraku ini?" Kerana itu jadilah ia seorang di antara
orang-orang yang menyesal."
Nama Qabil dan Habil sebenarnya hanya disebut dalam riwayat Israiliyat, yakni
riwayat-riwayat dalam kitab tafsir yang diambil daripada rujukan melibatkan
kaum Israel dan kisah-kisah umat terdahulu.
Namun, nama itu tidak ada sandaran kuat dalam mana-mana hadis sahih, bahkan
tidak pernah disebut dalam Al-Quran. Adapun yang disebut hanyalah kisah 'dua
orang anak Nabi Adam'.
Dalam Al-Quran, Allah menceritakan bahawa Qabil telah membunuh adiknya, Habil,
atas dorongan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang menyesatkan.
Cara bagaimana pembunuhan itu berlaku, dalam kitab tafsir menerangkan abang
telah menghentak batu di kepala adiknya sehingga mati.
Apabila sudah meninggal dunia, Qabil kebingungan dan tidak tahu apa yang harus
dilakukan. Akhirnya, dia memikul dan membawa jenazah tersebut ke sana sini.
Sehinggalah, Allah menghantar dua ekor burung gagak. Keduanya bergaduh di hadapan
Qabil sehingga salah seekor daripadanya mati.
Kemudian, burung gagak itu menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu
menyodok gagak yang mati ke dalam lubang dan menutupnya kembali dengan tanah.
Penemuan sains telah membuktikan burung gagak sebenarnya berbeza daripada
burung-burung lain.
Walaupun Allah menjadikannya hitam, haiwan berkepak ini telah terbukti adalah
antara haiwan yang paling cerdik di dunia.
Otaknya lebih besar berbanding burung-burung lain, bahkan ia juga hidup dalam
koloni yang sangat hebat dan sistematik.
Sebagai contoh, jika seekor burung gagak mencuri makanan burung gagak lain,
maka kawanan burung gagak akan menghukum burung pencuri tadi.
Hukumannya adalah dengan mencabut semua bulu burung tersebut sehingga ia tidak
lagi boleh terbang.
Begitu juga apabila ada burung gagak yang merosakkan sarang burung gagak lain,
maka kawanan burung gagak akan memaksa burung itu untuk membina semula sarang
tersebut.
Saintis juga mendapati, apabila seekor burung gagak membunuh gagak lain tanpa
sebarang sebab, burung itu akan dihukum bunuh.
Caranya, sekumpulan burung gagak akan mematuk pembunuh tadi sehingga mati.
Menariknya, burung gagak tidak akan meninggalkan burung yang dihukum mati itu
begitu sahaja.
Tetapi, kawanan burung gagak sepakat menggali lubang dan menguburkan burung
tersebut sebagai penghormatan kepadanya.
Berdasarkan penemuan saintifik ini, jelas menunjukkan burung gagak memiliki
kehebatan yang tiada tandingan dengan mana-mana burung lain.
Allah menghantar burung gagak untuk menunjukkan bahawa ada ketikanya manusia
perlu belajar dan mengambil iktibar daripada haiwan.
Sungguhpun burung gagak nampak hina dan rendah kelasnya lantaran berbulu hitam,
ada aspek mulia yang kita boleh belajar daripadanya.
No comments:
Post a Comment