Tuesday 15 March 2022

KENDURI ARWAH AMALAN RITUAL

  
Majlis kenduri arwah dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dan mengadakan jamuan di rumah si mati. Kebiasaannya diadakan sama ada pada hari kematian, di hari ke-2, ke-3, ke-7, ke-40 dan ke-100. 
 
Bagi mereka yang fanatik kepada kepercayaan ini atau terlalu mengagungkan si mati malah mengadakannya setahun sekali, khususnya menjelang Ramadan atau perayaan tertentu. 
 
Kepada yang taksub mengatakan majlis tahlil perlu diadakan, ia diadakan mengikut tarikh tertentu. Pertamanya diadakan kenduri masuk kubur, makan serabai di hari ke-3, kenduri pecah perut pada hari ke-7, kenduri roh berpisah dengan waris pada hari ke-40 dan kenduri 100 hari iaitu tatkala turun batu nisan agar roh itu masuk dalam jemaahnya sebagai ahli kubur. 
 
Ironinya, masyarakat Islam kini juga turut percaya bahawa orang beriman akan disoal dalam kubur selama 7 hari berturut-turut. Orang musyrik sampai 40 hari. Siapakah yang memberitahu kita semua itu? 
 
Siapakah yang pernah keluar dari kubur untuk ceritakan perihal kubur? Allah tak beritahu benda ghaib termasuk hal ehwal dalam kubur. Yang Allah sebutkan ialah akan dihidupkan semula dari kubur. Itupun masih ada takwil muhkamat dan mutasyabihat. Rasulullah SAW sendiri katakan baginda tidak tahu perkara yang ghaib! 
 
Bolehkah pindah pahala? Kalaulah amalan majlis tahlil ini mampu sedekah pahala kepada si mati, maka di dunia ini kita mesti kumpul duit banyak-banyak. Lepas itu pesan pada anak-anak supaya buat tahlil selalu. Nanti kalau dah mati, kita senang dalam kubur. 
 
Kalau macam tu orang-orang kaya akan hidup senang di alam kubur sebab anak-anak banyak duit untuk jamu orang makan dan buat tahlil. Bagaimana orang miskin dan yang melarat? Adakah Islam ini hanya untuk orang kaya sahaja? Masalah kita ialah kurang memahami hakikat apa itu pahala? 
 
Sebenarnya di dalam Islam tidak ada sistem pindah pahala atau dosa kepada orang yang sudah mati kerana amalnya sudah terputus. Al-Quran menetapkan bahawa dosa seseorang tidak dapat ditanggung oleh orang lain. 
 
Ironinya kita tidak sedar bahawa sebenarnya pahala hanyalah angan-angan ahli kitab sahaja. Kita membaca Yasin dan tahlil itu dengan harapan apa yang kita bacakan mampu meringankan dosa si mati. 
 
Bagaimana kita nak memberikan pahala kalau apa yang kita baca pun belum tentu kita faham? Ia kekal menjadi amalan yang sia-sia kerana tanpa kefahaman kita tidak mendapat pelajaran dan tentunya tidak melaksanakan apa yang kita baca. 
 
Bicara amal adalah bicara hasil. Satu-satunya ganjaran dari amalan itu ialah perlaksanaan ilmu pada anak yang soleh yang ditinggalkan si mati. Itu jelas sekali hadisnya. Ia hanya mampu kita gapai dengan meneliti setiap lafaz dalam tahlil dan selaku waris si mati kita bangkit melaksanakan secara aktual. 
 
Majlis tahlil itu boleh dijadikan satu wacana tarbiah untuk saling ingat mengingati. 
 
Ritul hanyalah sekadar perlambangan dan tarbiah sahaja. Kita kini mendapat Islam juga hasil usaha orang terdahulu yang mengamalkan keseluruhan isi Al-Quran dan sunnah itu secara aktual. Bukan sekadar ritual. 
 
Itulah ganjaran sebenar dari amal orang terdahulu. Ilmu agama dan akidah umat agama ini berkembang luas hasil dakwah mereka. Wilayah kekuasaan bertambah, umat berjaya disatukan, kemungkaran juga berjaya dikurangkan. 
 
Kita harus tahu bagaimana untuk membezakan ibadah dan upacara. Oleh itu, tahlil juga tidak akan jadi haram selagi kita tahu dan yakin bahawa ia mampu mendekatkan diri kita kepada Allah. Ia akan jadi haram apabila kita 'sengaja' menetapkan taqwim tahlil itu sebagai wajib, kerana Allah dan Rasul tidak wajibkan ia dengan dalil naqli secara jelas. 
 
Mengikut kaedah fiqah (Qawaid fiqh), penetapan sesuatu hukum ibadah itu berlandaskan syarat wajib, sunat, harus, makruh dan haram. 
 
Tahlil dikatakan amalan baru kerana tidak berlaku pada zaman Nabi SAW. Namun ia juga tidak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah selagi tidak ada unsur maksiat dan mensyirikkan. 
 
Maka, banyak ulama berpegang kepada bahawa amalan itu adalah harus diadakan dan atas alasan itu ia masih diteruskan di negara kita termasuk di kalangan alim ulama. 
 
Dalam soal perbezaan pendapat ini, bagi yang ingin meneruskan amalan itu, teruskanlah dan kepada pihak yang tidak mahu melakukan, itu adalah pendapat dan keyakinan mereka. 
 
Apa yang penting jangan ada saling tuduh menuduh dan menyalahkan antara satu sama hingga melemahkan perpaduan di kalangan umat Islam.

No comments:

Post a Comment