Saturday 1 October 2016

Siapa membina Kaabah

 
Kaabah rumah ibadah pertama manusia di dunia. Pelbagai pendapat berkaitan siapa mula-mula membina Kaabah. Ada ulama sejarah mencatatkan yang pertama membina Kaabah ialah malaikat.  Seterusnya disebut Nabi Adam turut dikatakan membina Kaabah. Binaan ketiga pula oleh Shith iaitu selepas hilangnya kesan binaan Adam.
 
Generasi seterusnya sentiasa memakmurkan rumah itu sehinggalah ia musnah dalam banjir yang berlaku pada zaman Nabi Nuh. Apabila tiba zaman Nabi Ibrahim, Allah telah memerintahkan baginda supaya membina semula rumah itu.

Tidak terdapat dalil yang sahih tentang tiga peringkat binaan awal ini. Kata Syeikh Husain Ba Salamah telah datang beberapa riwayat daripada sahabat dan tabiin tentang binaan Kaabah oleh malaikat, Adam dan Shith. Semuanya menyebut tentang peristiwa yang berlaku tanpa menyatakn sumber riwayat tersebut sama ada ia daripada Nabi atau Bani Israil (ahli kitab).

Sumber jelas mengenai pembinaan Kaabah seperti dicatatkan dalam al-Quran dan hadis ialah dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. 

Binaan Nabi Ibrahim bersama anaknya Ismail telah diceritakan oleh Allah dalam al-Quran dan terdapat banyak riwayat yang sahih dalam kitab-kitab hadis mengenainya.

Antaranya ialah Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim meninggikan (membina) asas-asas Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah, ketika Kami (Allah) menyediakan kepada Ibrahim tempat Baitullah (dengan mengatakan) janganlah engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu pun dan sucikanlah RumahKu ini untuk orang yang tawaf dan orang yang beribadat dan orang yang rukuk dan sujud.

2 comments: