Monday, 26 December 2016

HAK ISLAM TERANCAM

Tentu sekali umat Islam di Malaysia masih ingat mengenai IFC yang mula bergema di negara kita pada 2001.  

Agenda ini masih diteruskan.  Perkara ini wajar dijadikan renungan bersama demi menjaga hak dan kedudukan Islam di Malaysia.

IFC yang nama asalnya ialah IRC – Inter Religious Council (IRC) - adalah sebuah suruhanjaya yang dicadangkan penubuhannya seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah ajaran sesetengah agama, iaitu agama Islam, akibat desakan penganut agama lain.

Pelbagai memorandam yang dikeluarkan pihak penaja IRC/IFC terang-terang merupakan tindakan campur tangan yang serius terhadap  ajaran Islam.  

Sikap dan perasaan benci yang amat mendalam terhadap Islam di kalangan ahli-ahli pihak penaja yang bukan Muslim amat jelas kerana tidak mengendahkan bantahan seluruh umat Islam dan badan-badan yang sah mewakili Islam. 

Biarpun penubuhannya dikaitkan sebagai hubungan antara agama, hakikatnya isu-isu yang dibangkit tidak ada kena mengena dengan hubungan antara agama. 

Tiada satupun perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat-mesyuarat mereka ada berhubung dengan isu-isu orang-orang bukan Muslim. Malah isu-isu yang antaranya disebut di atas adalah kesemuanya berhubungkait dengan ajaran dan hak-hak orang Islam. 

Apa yang jelas IFC/IRC mencabar perlembagaan Islam sebagai Agama Persekutuan. Sebagai suatu strategi bagi menentukan penubuhan IRC, hanya bentuk kasar pertubuhan ini sahaja diperkenalkan. 

Isu-isu yang dibangkitkan itu, sekiranya tidak diambil kira implikasinya, kelihatan seperti  munasabah: contohnya, mualaf yang ingin kembali kepada agama asal mereka apabila perkahwinan mereka dengan orang Islam gagal.  

IFC akan menjadi badan yang boleh mempersoalkan hukum-hakam Islam.  Berdasarkan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa Penubuhan IRC badan ini akan diwakili oleh Islam dan yang bukan Islam dengan  kuasa untuk menerima aduan daripada penganut mana-mana agama terhadap agama Islam dan akan membuat keputusan. 

Berdasarkan apa yang dirancang, IFC bakal campur tangan dalam pentadbiran Hal Ehwal Islam.  IFC semestinya akan campur tangan dalam susunan perlembagaan sedia ada yang berkaitan dengan pentadbiran hal ehwal agama Islam yang mana kuasa diberi kepada Raja-Raja, Majlis Agama Islam Negeri dan Badan-badan lain serta pegawai-pegawainya.

Maka  adalah menjadi tanggung jawab seluruh ummat Islam di negara ini supaya terus berhati-hati dengan apa juga bentuk campurtangan asing menentukan hal ehwal agama Islam. 

Tuntutan Orang-orang Bukan Islam Yang Dibuat Melalui IFC.

- Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

- Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

- Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

- Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan sesorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

- Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang.

- Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak. 

- Orang-orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

- Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

- Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

- Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

- Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

- Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

- Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

- Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Sesungguhnya kedudukan Islam di Malaysia sebagai agama Persekutuan sepertimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan telah dicabar dari pelbagai sudut. Justeru, umat Islam perlu bersatu untuk menghadapi cabaran yang semakin genting ini. 

Jika umat Islam berpecah, lebih mudah kedudukan Islam dicabar. Disebabkan gila pada kuasa, banyak orang sanggup bersama-sama dengan bukan Islam mecabar kedudukan Islam. 

Umat Islam sepatutnya bersama tanpa mengira fahaman politik dalam mempertahankan Islam.  Apa saja perbuatan atau rancangan yang dilihat merugikan umat Islam, maka seluruh umat Islam perlu bersatu untuk menghalangnya.


No comments:

Post a Comment