Amat malang sekali perbuatan merokok
dilakukan di kalangan mereka yang layak dipanggil ustaz, haji, imam dan ulama.
Mereka mementingkan soal dosa dan pahala dalam perkara lain, tetapi mengabaikan
soal dosa perbuatan merokok.
Perbuatan mereka merokok secara terbuka
dijadikan hujah oleh golongan muda bahawa perbuatan itu tidak berdosa kerana
jika berdosa sudah pasti ustaz dan pak imam tidak akan merokok.
Islam dengan tegas melarang perbuatan
mendatangkan keburukan. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat ke 2 yang
bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang
buruk-buruk.”
Manakala firman Allah SWT lagi yang
bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik
dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk.” (Surah al-Aaraf, ayat
157)
Lanjutan itu, Muzakarah Majlis Fatwa
Kebangsaan ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah
perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang
Islam.
Jadi, anggapan kebanyakan perokok
mengatakan perbuatan itu sekadar makruh adalah tidak benar. Hukum makruh
digunakan oleh ulama dahulu memandangkan perbuatan merokok pada itu belum
disahkan sebagai punca penyakit berbahaya dan jenis rokok pada ketika itu
berbeza pada masa sekarang.
Sesuatu amalan mendatangkan keburukan amat
disukai oleh syaitan dan sentiasa mempengaruhi manusia agar terus menerus
melakukannya.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai
orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam ajaran Islam dengan
sepenuhnya. Janganlah kamu menuruti langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan
itu musuh kamu yang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208).
Ingatlah, rezeki yang diperoleh hendaklah
digunakan untuk kebaikan. Mengapa kita begitu berkira untuk menghulurkan derma
atau sedekah kepada orang lain, tetapi tidak merasa rugi untuk membakar wang
melalui rokok.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan makanlah
dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik,
dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” (Surah
al-Maidah, ayat 88).
No comments:
Post a Comment