Friday, 9 September 2022

HIDUP BIAR SIBUK DENGAN PERKARA POSITIF

  
Hidup biar sibuk. Sibuk dengan melakukan perkara berfaedah untuk diri, agama, bangsa dan negara. Itu perkara dituntut. Masa berjalan tidak menanti kita. Kumpul sebanyak mungkin kebaikan untuk dibawa ke alam abadi. 
 
Jangan menyibuk hal orang lain yang tidak ada kena mengena dengan kita. Kalau duduk sibuk tentang orang lain, lama-lama kita boleh mendapat penyakit mental. Jaga diri, majukan diri. 
 
Satu cara menjadikan lebih ceria ialah berpeluh. Lakukan apa sahaja aktiviti fizikal yang boleh mengeluarkan peluh dari badan. Ianya menyihatkan badan dan minda. Jangan mengeluh, sebaliknya jadikan diri berpeluh. 
 
Berkawan dengan orang yang positif dan berjaya. Semoga aura positif itu akan meresap dalam diri kita. Kita terikut-ikut tindakan positif mereka. Kesannya akan berjaya seperti mereka. 
 
Usah murung dan kecewa jika ada di antara rakan anda menjauhkan diri atau diperdaya oleh orang lain lalu tiba-tiba mengasingkan diri dari anda tanpa anda tahu puncanya, anggaplah itu cara Allah sisihkan mereka dari anda dan pastilah ada hikmahnya. Bersangka baik sentiasa. 
 
Penampilan adalah penting untuk keyakinan diri. Menjaga penampilan tidak semestinya memerlukan anda tampil hebat dengan pakaian berjenama dan solekan yang tebal. Cukup dengan bersih dan kemas. Jika tidak mampu untuk berpakaian baik, pakai seadanya sahaja. 
 
Usah mudah berkecil hati jika terdengar ada orang mengatakan yang tidak baik mengenai diri kita. Manusia tidak sempurna. Hanya kita dan Tuhan tahu apa yang kita lakukan. Orang menilai dari luaran sahaja. 
 
Tidak perlu menghabiskan masa untuk meyakinkan orang lain tentang diri kita. Orang yang tidak menyukai kita tidak akan percaya. Mereka telah menganggap kita bersalah dan perkara buruk lain. 
 
Sebaliknya orang yang ingin bersahabat dengan kita tidak perlukan penjelasan tentang diri kita. Mereka menarima seadanya baik dan buruk kita. Mereka terus kekal sebagai sahabat dengan niat membina persahabatan yang tulus dan ikhlas.

No comments:

Post a Comment