Sunday, 20 April 2025

PESAWAT PENUMPANG C909 BUATAN CHINA

Pesawat penumpang C909 yang dibangunkan sepenuhnya di China telah memulakan operasi komersial di Vietnam, sekali gus memperluas kehadirannya di Asia Tenggara, menurut Commercial Aircraft Corporation of China Ltd (COMAC), lapor Xinhua.
 
Dikenali sebelum ini sebagai ARJ21, C909 ialah pesawat jet penumpang jarak sederhana yang dibangunkan di China, dengan jarak penerbangan antara 2,225 kilometer hingga 3,700 kilometer.
 
Dua pesawat C909 yang dipajak secara 'wet lease' oleh Vietjet Air Vietnam daripada Chengdu Airlines dan mula beroperasi pada 19 april 2025 bagi laluan Hanoi–Con Dao–Ho Chi Minh City, menurut syarikat pengeluar pesawat itu.
 
'Wet lease' merupakan model pajakan pesawat yang biasa digunakan di peringkat global, yang mana pemberi pajak membekalkan bukan sahaja pesawat, tetapi juga kru, penyelenggaraan, insurans dan sokongan operasi.
 
Vietjet, syarikat penerbangan swasta pertama Vietnam, merupakan pengendali utama bagi laluan domestik dan rantau Asia Pasifik.
 
Menurut pihak industri, penambahan pesawat C909 dijangka mengukuhkan kapasiti armada dan menyokong perkembangan pasaran penerbangan Vietnam.
Pada Disember 2022, model ini diserahkan kepada pelanggan luar negara pertama, TransNusa dari Indonesia.
 
Pada Mac tahun ini, COMAC menyerahkan sebuah lagi pesawat kepada Lao Airlines. Vietjet merupakan pengendali luar negara ketiga bagi pesawat berkenaan.
 
Setakat ini, ketiga-tiga syarikat penerbangan berkenaan telah melancarkan 15 laluan menggunakan C909 di Asia Tenggara, dengan membawa lebih 250,000 penumpang.
 
BERNAMA-XINHUA

No comments:

Post a Comment