Monday 26 December 2016

PENGALAMAN DAKI BUKIT KELUANG

Bukit Keluang, pantai peranginan terkenal yang terletak di daerah Besut, Terengganu. Bukit Keluang terletak kita-kira enam kilometer dari Kampung Raja, pusat pentadbiran bagi daerah Besut. 

Bukit Keluang bukan saja menjadi tumpuan penduduk Terengganu, bahkan banyak yang datang dari Kelantan. Ini kerana kedudukan Bukit Keluang hanya kira-kira 60 km dari Kota Bharu, Kelantan.     

Selain menikmati keindahan pantai dan mandi manda di pantai, ada pengunjung mengambil peluang mendaki bukit. 

Mendaki Bukit Keluang bukan satu yang terlalu mencabar, tetap cukup untuk menguji ketahanan fizikal dan mental mereka yang pertama kali mendaki bukit.

Terdapat agensi kerajaan yang mempunyai kem latihan berhampiran Bukit Keluang menjadikan aktiviti mendaki bukit sebagai sebahagian jadual kursus.

Mendaki Bukit Keluang tidak sukar kerana telah terdapat trek pendakian. Pendaki boleh memilih beberapa trek untuk menbezakan jarak, pemandangan dan kesukaran. 

Bagaimanapun, kebanyakan pendaki memilih untuk bermula di kawasan tempat letak kereta pantai dan berakhir di kawasan lapang wakaf menuju muara sungai. 

Pendakian itu membolehkan pendaki melalui kawasan permatang bukit yang berada di tepi jurang yang memperlihatkan pemandangan pantai yang cantik.  

Selain itu ada wakaf yang terletak di puncak bukit di tengah-tengah pendakian untuk berehat dan menikmati pemandangan dari puncak bukit. Wakaf itu boleh menampung kira-kira 100 orang pada satu-satu masa.

Trek pendakian 'jelas' dan tidak sukar untuk dilalui oleh pendaki biarpun kali pertama mendakinya. Ini kerana ia terlalu kerap dilalui selain dibersihkan oleh Jabatan Hutan yang bertanggungjawab menyelia kawasan itu.

Masa untuk pendakian dari tempat pemulaan hingga tamat lebih kurang 45 minit hingga satu jam setengah bergantung kepada kekuatan fizikal atau kepantasan bergerak.  

Bagi yang ingin lebih cabaran boleh mengikut laluan yang lebih jauh dan tentunya mengambil masa yang lebih lama.  

Ada individu yang menjadikan trek pendakian di Bukit Keluang sebagai trek berjoging setiap hari. 

Dengan kata lain, ia tidak begitu sukar untuk didaki. Namun, bagi mereka yang mengidap penyakit seperti asma, jantung dan saraf dinasihatkan tidak mendaki. 

Kalaupun ingin mencuba, hendaklah disertai mereka yang boleh memberi bantuan kecemasan jika berlaku perkara tidak diingini.
 
Pendaki juga diingatkan agar berhati-hati apabila melalui kawasan curam. Jangan berada di kawasan yang terlalu hampir dengan tebing yang boleh mengundang kecelakaan.
 
 

 


 

No comments:

Post a Comment