Demi cita-cita menyesatkan
manusia, syaitan akan menyusup dan menyelinap dalam semua aktiviti kehidupan
manusia. Semua golongan tidak kira beriman atau tidak, kaya atau miskin,
cedik atau bodoh, kuat atau lemah, alim atau jahil dan tua atau muda tidak terkecuali
didampingi oleh syaitan..
Perlu ditegaskan, syaitan
yang wajib dijauhi bukan saja berupa dalam bentuk kejadian asalnya yang tidak
dapat dilihat oleh pancaindera manusia biasa. Malah, syaitan juga datang dalam
bentuk manusia biasa yang hidup di alam nyata, yakni manusia yang telah
terpengaruh dengan tipu daya syaitan menjalankan tugas-tugas syaitan. Syaitan
menguasai golongan ini menjadi agen untuk menyesatkan manusia.
Ingatlah firman Allah yang
bermaksud: “(Aku berlindung kepada Allah) daripada kejahatan pembisik,
penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan (menghembuskan) bisikan
dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) daripada
jin dan manusia.” (Surah an-Nas, ayat 4-6).
Setiap kali berjaya
mempengaruhi manusia melakukan kejahatan dan membenci kebaikan, syaitan semakin
bersemangat untuk meneruskannya. Syaitan mengetahui kelemahan dan kekuatan
setiap orang yang didampinginya.
Syaitan mahu menyesatkan
seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang
dilakukan akan diulang-ulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain.
Hanya orang benar-benar
beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan
biarpun tidak melihat di mana syaitan berada. Justeru, tingkatkan keimanan dan
ketakwaan untuk mengelak daripada pengaruh syaitan.
Pelbagai cara digunakan
syaitan untuk mengganggu manusia untuk menyeleweng daripada ajaran Islam dan
melakukan dosa. Kedatangan syaitan sukar diduga kerana tidak dapat
dilihat, datang dalam bentuk penjelmaan halus hingga mampu membolosi daya
pemikiran dan mengalir dalam diri manusia melalui aliran darah.
Syaitan bukan sahaja
mempengaruhi melakukan kejahatan secara fizikal, bahkan cuba menguasai minda
dengan menimbulkan keraguan dalam diri yang boleh membawa kepada syirik.
Syaitan sentiasa
menghembuskan hasutannya kepada manusia agar cintakan kepada harta benda,
melakukan kezaliman, bersifat kedekut, ikut kehendak hawa nafsu dan kejahatan
lain yang menimbulkan kemurkaan Allah.
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Syaitan akan datang kepada kamu, lalu berkata: “Siapa yang menjadikan
ini? Siapa yang menjadikan itu? Sampai dia berkata: Siapakah yang
menjadikan Tuhanmu? Apabila sampai pada pertanyaan demikian, hendaklah
orang itu memohon perlindungan kepada Tuhan dan hendaklah berhenti
memikirkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
No comments:
Post a Comment