Saturday, 9 April 2022

SEGERA BERTAUBAT SEBELUM TERLAMBAT

  
Sesungguhnya, Allah membuka seluas-luasnya peluang untuk hamba-Nya memperbetulkan kesilapan dan dosa yang telah dilakukan sama ada secara sengaja atau tidak disedari. Setiap dosa yang dilakukan akan menyebabkan kekotaran di dalam diri atau hati.  
 
Maka, untuk membersihkan dosa itu Islam mensyariatkan amalan taubat supaya insan dapat membersihkan dirinya daripada dosa. 
 
Taubat bererti kembali, iaitu membawa maksud kembalinya seorang hamba kepada Allah daripada segala perbuatan dosa yang dilakukannya. 
 
Oleh itu, ahli tasauf menjadikan taubat sebagai anak tangga pertama yang harus dilalui sebelum menaiki anak tangga seterusnya untuk menjejaki ketinggian Allah. 
 
Taubat boleh dilakukan bila-bila masa tidak kira di mana kita berada. Namun perlu diingatkan bahawa taubat jua ada masa atau hadnya iaitu Allah akan menolak permohonan taubat apabila nyawa telah berada di halkum atau ketika maut telah terlalu hampir. 
 
Sebab itu, kita tidak seharusnya melengah-lengahkan taubat. Sebaik menyedari telah melakukan dosa, tidak kira kecil atau besar, maka perlulah terus bertaubat. Sikap menangguhkan taubat ingin dilakukan apabila usia tua perlu dijauhkan.  
 
Ingatlah, bahawa kita tidak tahu bilakah akan tiba ajal. Banyak kes kematian berlaku secara tiba-tiba seperti kemalangan jalan raya dan penyakit berbahaya yang menyebabkan kematian secara tiba-tiba. 

No comments:

Post a Comment