Thursday, 13 April 2023

BERHATI-HATI MEMBACA WHATSAPP

 
Aplikasi WhatsApp menjadi medium berkomunikasi pantas dan murah, terutama jika membuat kiriman di kumpulan WhatsApp.
 
Tetapi, terhati-hatilah menulis dan membaca di WhatsApp. Kesilapan mengeja atau tertinggal tulisan sering terjadi. Begitu juga jika menggunakan tulisan ringkas dan bahasa dialek sering menyebabkan sahabat yang membaca tidak faham.
 
Ambo (saya) ada menerima kiriman dalam kumpulan WhatsApp yang berbunyi: “Untuk makluman semua, semua shbat kita nur adha baru saja kembali pada Allah”
 
Sekali baca, banyak ahli yang faham yang mati adalah Nur Adha. Sedangkan yang meninggal sebenarnya adalah suami Nur Adha. Perkataan “suami” telah dieja “semua”.
 
Ambo perasan ada yang tidak kena hanya apabila melihat gambar lelaki (suami Nur Adha) menerima rawatan kecemasan. Tentu gambar itu ada kaitan dengan kematian. Siapa yang meninggal sebenarnya?
 
Ambo membuat kiriman ke kumpulan WhatsApp bertanyakan hal kedudukan sebenar. Rupanya memang banyak ahli yang keliru dan menyangka yang meninggal itu adalah Nur Adha.
 
Bahkan, pemandu kereta jenazah yang juga ahli kumpulan ada memaklumkan agar diberitahu kepada suami Nur Adha bahawa tidak perlu guna van jenazah hospital kerana dia sudah dalam perjalanan untuk ke bilik mayat.
 
Harap ia menjadi pengajaran agar lebih berhati-hati terutama dalam perkara penting ini.  

No comments:

Post a Comment