Thursday 9 June 2022

FELDA WILAYAH JENGKA TERBESAR DI MALAYSIA

 
Wilayah Jengka merupakan penempatan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Wilayah Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. 
 
Dengan adanya tanah-tanah rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu seratus peratus iaitu Bandar Jengka. 
 
Bandar jengka adalah satu inspirasi bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua Tun Abdul Razak untuk mengujudkan satu bandar 100 peratus orang Melayu. 
 
Kini Bandar Jengka yang telah diubah nama kepada Bandar Tun Razak Jengka, tidak lagi dimonopoli oleh orang Melayu sahaja, kerana di kawasan Jengka 15 terdapat satu deret kedai yang telah ditembusi oleh peniaga bukan Melayu. 
 
Nama Jengka diambil daripada nama sebatang sungai kecil yang terdapat di sini iaitu Sungai Jengka. Wilayah Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar sawit dan getah. 
 
Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25, di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka. 
 
Ini bermakna Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25. 
 
Dalam kawasan Jengka juga terdapat tanah rancangan FELDA yang tidak menggunakan nama Jengka, kerana ianya ditubuhkan lebih dahulu dari Jengka itu sendiri, antaranya ialah FELDA Kampong Awah (1963), FELDA Ulu Jempol (1965) dan FELDA Sungai Nerek (1967). 
 
Setiap kawasan penempatan Jengka mengandungi antara 300 hingga 600 buah keluarga. Sebagaimana di tanah rancangan FELDA lain, penduduk Jengka juga disebut sebagai 'peneroka FELDA' manakala isteri mereka dipanggil 'penerokawati ' dan ditadbir oleh seorang pengurus yang dilantik oleh pihak pegurusan FELDA. 
 
Peneroka tersebut datang daripada seluruh Malaysia yang terdiri daripada rakyat termiskin (di bawah paras kemiskinan). Banyak kalangan peneroka Jengka berasal daripada negeri-negeri utara seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan juga negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. 
 
Selain itu terdapat juga peneroka yang berasal dari negeri lain seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, selain daripada penduduk asal Pahang. 
 
Justeru dapat dilihat adat dan budaya yang bercampur-campur diamalkan di Jengka memandangkan para pendatang ini mengekalkan adat dan budaya kampung asal masing-masing.

No comments:

Post a Comment